DIPLOMAT tertinggi Iran menggesa badan pemerhati nuklear Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) menggugurkan isu tiga tapak yang tidak diisytiharkan, ketika momentum sedang memuncak untuk memulihkan perjanjian nuklear 2015.
Washington berkata Amerika Syarikat (AS) bertegas supaya Iran bekerjasama dengan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) untuk menghapuskan syak wasangka mengenai kerja awal di tiga tapak yang tidak diisytiharkan itu.
Jun lalu, lembaga gabenor IAEA menerima pakai resolusi yang mengecam Iran kerana gagal memberi penjelasan secukupnya mengenai penemuan jejak uranium diperkaya di tiga tapak, yang mana Tehran tidak mengisytiharkan tindakan menjalankan aktiviti nuklear.
Menteri Luar Hossein Amir-Abdollahian berkata pihaknya memandang serius isu perlindungan dan tidak akan membenarkan beberapa tuduhan tidak berasas IAEA kekal.
Katanya, isu itu meracuni hubungan antara IAEA dan Iran yang menganggap perkara itu bersifat politik dan yang tidak boleh digunakan sebagai alasan untuk menghukum Iran.
Beliau membuat kenyataan itu sehari selepas AS menjawab cadangan Iran untuk menghidupkan semula perjanjian penting yang dibuang bekas presiden Donald Trump.
Kesatuan Eropah pada 8 Ogos lalu, mengemukakan teks terakhir untuk memulihkan perjanjian itu, di mana sekatan terhadap Iran akan ditarik balik dan negara itu boleh menjual semula minyak sebagai balasan kerana mengehadkan program nuklearnya.
Perjanjian pada 2015, antara Iran dan enam kuasa dunia, – Britain, China, Perancis, Jerman, Russia dan AS, memberi kelonggaran sekatan sebagai pertukaran kerana mengehadkan program nuklearnya. – AFP, 26 Ogos, 2022.
Komen