Umno perlu 'move on', kata pemimpin akar umbi


Mohd Farhan Darwis

Mahkamah Persekutuan pada Selasa, mengekalkan sabitan dan hukuman ke atas Najib Razak berhubung kes penyelewengan dana RM42 juta SRC International Sdn Bhd membabitkan bekas perdana menteri itu. – Gambar EPA, 26 Ogos, 2022.

UMNO perlu terus bergerak ke hadapan mengharungi pilihan raya akan datang walaupun tanpa bekas presidennya Najib Razak yang selama ini menjadi tunggak utama menangkis serangan pembangkang di media sosial, kata pemimpin akar umbi.

Umno tidak boleh selama-lamanya mengharapkan bantuan melalui suara bekas perdana menteri semata-mata kerana parti itu juga ada tokoh lain yang mampu berhujah dengan baik seperti yang dilakukan Najib selama ini, kata mereka.

Ketua Umno Bahagian Hulu Langat Johan Abdul Aziz berkata Umno perlu bergerak ke hadapan dan tidak bergantung kepada sentimen Najib.

“Umno tetap ‘move on’, parti kena ‘move on’. Kita (Umno) bukan parti individu.

“Kita masih ada presiden, timbalan presiden, majlis kerja tertinggi… kita akan bincang dalam masa terdekat, dan kita akan atur strategi macam mana,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Johan yang juga ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno berkata Umno sekarang mesti memastikan parti berupaya mengisi kekosongan ruang komunikasi yang Najib tinggalkan, selepas ahli Parlimen Pekan itu masuk penjara.

“Kita ada juga platform bawah BN Comm (Komunikasi BN) tapi sudah pasti pengikut tak sama dengan Bossku,” katanya.

Jelas beliau, Najib selama ini menjalankan tugas komunikasi itu secara sukarela di media sosial.

“Umno kena fikir bagaimana nak menangkis serangan musuh politik yang nak pastikan Umno terkubur.

“Jadi Umno kena merangka sesuatu, kita kena ada buat perbincangan tapi masih baharu lagi (selepas Najib dipenjara),” kata Johan.

Najib minggu ini mula menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan akhirnya terhadap sabitan dan hukuman berhubung jenayah pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram melibatkan SRC International Sdn Bhd. Najib juga dikenakan denda RM210 juta atau penjara lima tahun jika ingkar.

Dengan slogan Bossku, bekas perdana menteri Najib Razak aktif di media sosial dan setiap hantaran dan kenyataan dimuat naik sering mendapat perhatian. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Ogos, 2022.

Sementara itu, exco Pemuda Umno Bastien Onn berkata Umno tiada pilihan dan tidak boleh selamanya bergantung kepada Najib.

“Sudah tentu kita kehilangan satu suara besar dalam menghadapi suara pembangkang, tetapi Umno tiada pilihan dan perlu move on,” katanya.

Bastien mengingatkan Umno ada barisan pemimpin yang juga tentunya mampu menangkis serangan lawan seperti Timbalan Presiden Mohamad Hasan, Naib Presiden Mohamed Khaled Nordin, Setiausaha Agung Ahmad Maslan, termasuk Perdana Menteri yang juga Naib Presiden Ismail Sabri Yaakob.

“Untuk kata hanya beliau (Najib) menjawab soalan (rakyat) merupakan salah tanggap.

“Benar, jawapan beliau sering menjadi tumpuan, tetapi pemimpin lain serta menteri Umno sering menjawab tuduhan dilemparkan, mengikut portfolio masing-masing,” kata Bastien.

Ketua Pemuda Umno Segamat itu berkata Najib diakui memiliki kelebihan dalam berhujah di media sosial memandangkan beliau bekas perdana menteri sementara isu yang dibangkitkan juga berlaku di bawah pentadbirannya sendiri.

“Sebagai bekas perdana menteri, sudah tentu beliau lebih mengetahui isu yang dibangkitkan. Banyak isu yang dijawab berkait rapat dengan zaman pentadbiran beliau yang sebahagiannya adalah keputusan beliau sendiri.

“(Sebab itu) rakyat juga sering melihat jawapan Najib sebagai tumpuan, setiap jawapannya menjadi bualan dan sumber rujukan terhadap tuduhan yang dilemparkan oleh Pakatan Harapan (PH) mahupun Perikatan Nasional (PN),” kata Bastien.

Selain pemimpin utama, Bastien juga yakin pimpinan muda Umno mampu ke hadapan menjawab serangan musuh politik mereka.

Malah, katanya Umno tidak gentar berhadapan tuduhan dan dakwaan yang dibuat Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli dengan barisan pimpinan muda tersebut.

“Bukanlah perkara yang sukar dan Umno akan menggandakan usaha bagi menampung kehilangan suara Najib ini.

“Suara Ketua Pemuda Asyraf Wajdi, Shahril Hamdan, Isham Jalil dan lain-lain mewakili suara orang muda dengan berkesan.

“Menghadapi Rafizi bukanlah perkara yang sukar apabila fakta separuh benar dan separuh palsu sering diwar-warkan,” katanya.

Sejurus tewas PRU14, Najib mula aktif di media sosial menyerang pentadbiran kerajaan PH waktu itu, dan seterusnya dilihat membentuk gelombang sokongan rakyat kepada Umno dan Barisan Nasional (BN).

Najib yang diberi julukan “Bossku” kerap juga menarik tumpuan ramai dalam jelajah dan kempen pilihan raya kecil atau pilihan raya negeri.

Dalam pada itu, Ketua Umno Bahagian Sabak Bernam Abdul Rahman Bakri berkata Umno perlu berusaha memastikan kemenangan di Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi mengelakkan lebih ramai pemimpin parti dianiaya, seperti yang berlaku kepada Najib.

“Kita ‘move on’, di samping itu kita berusaha bagaimana dapat memerintah negara dan mengelakkan lagi rakan kita teraniaya oleh fitnah yang menyebabkan mereka masuk ke penjara,” katanya.

Hukuman penjara yang dijatuhkan mahkamah terhadap Najib katanya membuatkan Umno semakin kuat untuk membentuk kerajaan selepas PRU15.

“Kita tak lemah, tapi bertambah semangat untuk berjuang bekerja keras memastikan BN menang dalam PRU15. Itu sasaran kita.

“(Hukuman terhadap Najib) akan berikan semangat kepada kita untuk terus perjuangkan parti kita memenangi PRU15, kita kena kerja kuat sebagai satu azam.

“Tetapi simpati dan sayang dengan Najib, seorang negarawan banyak jasanya. Itu tak boleh nafikan, kita sentiasa berdoa untuk beliau bebas,” katanya.

Najib masih berhadapan empat lagi kes di Mahkamah Tinggi dengan dua daripadanya masih dalam proses perbicaraan.

Antaranya termasuk kes pengubahan wang haram dana SRC, penyelewengan RM2.3 bilion dan meminda laporan audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta kes pecah amanah ke atas harta kerajaan berjumlah RM6.6 bilion berkaitan bayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC). – 26 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen