Harga babi mahal, kedai makan tanggung kesan


Khoo Gek San

HARGA babi hidup di semenanjung mungkin meningkat sehingga RM13 sekilogram, tertinggi sejak dua tahun lepas, tetapi pengendali perniagaan makanan buat masa ini tidak membuat perubahan harga mereka, mengekalkan harga tiga bulan lepas.

Ini kerana mereka bimbang perubahan harga lagi akan membuatkan pelanggan yang sedang bergelut dengan inflasi, lari.

Pengerusi Persatuan Penternak Babi Pulau Pinang Wong Fu Sheng memberitahu The Malaysian Insight lonjakan harga pada Jun lepas disebabkan kos makanan haiwan, demam babi Afrika (ASF) dan ketidakupayaan untuk penuhi permintaan akibat kandang dimusnahkan selain diarah ditutup kerana ASF.

Berhubung makanan haiwan, Wong berkata sebelum pandemik Covid-19, harga makanan jagung RM800 setan yang mana meningkat lebih dua kali ganda kepada RM2,000 setan tahun ini.

Makanan haiwan berasaskan kacang soya, katanya, telah meningkat daripada RM1,600 setan sebelum pandemik kepada RM3,100 setan ketika ini.

Dedak beras berharga RM700 setan sebelum pandemik dan RM1,500 kemudiannya, manakala dedak gandum naik kepada RM1,450 daripada RM700 setan.

Wong berkata sejak Jun 2020 penternak babi kehilangan “beberapa ratus ringgit” untuk setiap babi disebabkan kos makanan yang tinggi.

Yong Sheng Qiao, pengarah urusan Animal Farming Sdn Bhd, berkata sejak Januari, makanan haiwan telah meningkat sebanyak 80%.

“Awal tahun, harga makanan itu kira-kira RM900 untuk 100kg. Sekarang RM1,200.”

Wong berkata petani perlu memberi makanan kepada haiwan mereka dengan makanan yang betul dan bukan sisa makanan seperti yang mereka lakukan pada masa lalu kerana bimbang dijangkiti ASF yang boleh membawa maut.

“ASF telah beri tekanan kepada penternak babi dan mereka perlu keluarkan lebih banyak wang untuk makanan haiwan yang sesuai.”

Katanya, sesetengah penternak juga terpaksa mengurangkan bilangan babi yang mereka ternak agar dapat rendahkan kerugian jika terkena ASF.

ASF membawa maut kepada babi, kata Wong.

Akibatnya amat merugikan penternak kerana semua babi di ladang ternak mereka yang dijangkiti perlu dimusnahkan untuk mengelakkan penularan penyakit itu, katanya.

“Petani mengadu mereka ada masalah aliran tunai selepas dilanda ASF kerana kerajaan negeri mahu mereka buat pembersihan menyeluruh dan pembinaan semula.

“Mereka cakap mereka tidak ada wang tunai yang cukup untuk beli bahan untuk pembinaan semula.”

Menurut Jabatan Veterinar, terdapat 437 kandang babi di semenanjung.

Walaupun harga babi hidup melepasi harga siling, Wong berkata harga di Malaysia “masih lebih rendah” berbanding di negara jiran. – 26 Ogos, 2022.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen