DALAM usaha untuk menghidupkan suasana di persekitaran jalan raya Kuala Lumpur, sekumpulan artis tempatan telah mula mengusahakan lukisan pada kotak bekalan kuasa untuk mengindahkan lagi persekitaran di pusat bandar.
Dengan projek itu dijadualkan berlangsung di seluruh ibu kota, artis terlibat berkata ia akan menambah warna dan meningkatkan keindahan sesuatu tempat.
Bercakap kepada The Malaysian Insight, artis mural jalanan Zafri Ahmad berkata projek itu ditugaskan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk mengecat kotak bekalan milik dewan bandaraya itu.
Menurutnya, DBKL berasa kagum dengan kerja mereka di Bukit Nanas, di mana mereka mengecat kotak bekalan berkenaan bersama dinding.
“Apabila kami melukis mural di Bukit Nanas, tiada kontrak atau idea untuk mengecat kotak bekalan elektrik,” kata lelaki berusia 32 tahun itu.
“Namun betul-betul di hadapan dinding, terdapat kotak bekalan kuasa ini, yang kami tinggalkan tanpa mengecat dan ia mengganggu lukisan kami.
“Jadi, salah seorang ahli kumpulan kami memberi idea untuk mengecat kotak itu juga.
“Dan apabila DBKL datang untuk melihat hasil kerja kami, mereka kagum dengan apa yang kami lakukan terhadap kotak berkenaan. Mereka menyukainya.
“Jadi, saya fikir mungkin itulah yang memberi mereka idea dan kami peluang untuk melukis kotak bekalan kuasa lain di pusat bandar,” tambahnya.
DBKL pada awalnya menyatakan mahu mengubah Kuala Lumpur menjadi ibu kota seni jalanan, diilhamkan daripada kejayaan bandar seperti Melbourne di Australia yang terkenal dengan kreativiti artis jalanan, yang karyanya menjadi tarikan dunia.
Sedang mengusahakan lukisan kotak kuasa di Brickfields, Zafri berkata lukisan di setiap lokasi akan mempunyai tema, konsep dan identiti berbeza, bergantung kepada latar belakang dan sejarah kawasan itu.

Zafri berkata, pihaknya akan menghasilkan rekaan bagi setiap lokasi.
“Kami mempunyai tema dan konsep berdasarkan tempat dan ketua kami akan menghasilkan reka bentuk.
“Sebagai contoh, seperti di Brickfields, yang juga dikenali sebagai Little India, tema dan konsepnya akan menyentuh tradisi, budaya dan perayaan India.
“Jika di Kampung Baru, konsep dan tema akan melibatkan unsur Melayu,” katanya.
Zafri, seorang artis bebas, berkata mereka telah selesai mengecat kira-kira 40 kotak bekalan kuasa di Brickfields dan masih terdapat kira-kira 300 lagi di seluruh ibu negara.
Dengan kira-kira 15 ahli bersamanya, Zafri berkata seorang artis mengambil masa sehari suntuk untuk menyiapkan lukisan mural pada satu kotak.
Bergantung kepada kerumitan seni itu, beliau berkata ia boleh berlarutan hingga dua hari.
Zafri percaya lukisan mural itu mampu memberi impak besar kepada masyarakat setempat selain mengindahkan tempat itu.
Katanya, ia boleh membuatkan mereka menyukai tempat itu dan mewujudkan semangat kekitaan, untuk mereka bersama-sama menjaga tempat itu.

500 kotak bekalan kuasa untuk dicantikkan
DBKL mengesahkan dengan The Malaysian Insight projek pengindahan kotak kuasa berada di bawah seliaan mereka.
Mereka berkata, sebanyak 500 kotak kuasa milik dewan bandaraya di ibu negara akan diindahkan menerusi projek ini.
Projek yang bermula Mac tahun ini menelan kos keseluruhan RM850,000.
Lokasi kotak yang terlibat di bawah projek itu termasuk denai warisan, taman awam, River of Life, pusat bandar Kuala Lumpur dan kawasan tarikan pelancong lain.
Projek itu dijangka siap pada Mac tahun depan.
Zafri yang mengusahakan projek itu sejak permulaan berkata, peluang mengusahakan lukisan jalanan membuka dimensi berbeza kepada artis.
Sering disuruh melukis untuk mendapatkan perwakilan galeri semasa zaman kolejnya, Zafri berkata seni adalah bahasa universal dan tidak semestinya ia memerlukan perwakilan galeri.
Beliau berkata projek sebegitu juga membolehkan orang ramai menyara hidup pada masa yang mencabar itu.
“Di kolej, kami mengambil kursus seni halus dan kami sentiasa diberitahu untuk menjadi artis yang luar biasa, yang mana mereka mengharapkan untuk melihat lukisan kami di galeri (seni).
“Jadi, kebanyakannya tertumpu pada itu. Bagaimanapun, terdapat juga perkara lain yang boleh dilakukan, seperti lukisan jalanan mural ini.
Ini membuka peluang berbeza kepada artis untuk memperoleh pendapatan,” katanya. – 26 Ogos, 2022.
Komen