RIBUAN pelarian Rohingya pada Khamis berhimpun memperingati “Hari Penghapusan Kaum”, menandakan lima tahun sejak melarikan diri daripada serangan tentera Myanmar.
Pada Ogos 2017, kira-kira 750,000 etnik minoriti Islam itu lari ke sempadan Myanmar yang majoriti Buddha untuk mengelak daripada serangan askar, yang kini menjadi subjek kes pembunuhan beramai-ramai di mahkamah tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Hari ini terdapat hampir sejuta Rohingya, separuh daripada mereka di bawah 18 tahun di kem di mana jalan lumpur kerap bertukar menjadi sungai semasa musim hujan.
Pada Khamis beribu-ribu Rohingya mengadakan perhimpunan di kebanyakan kem, memegang sepanduk, menjerit slogan dan menuntut pulang dengan selamat ke negeri asal mereka di Rakhine di barat Myanmar.
“Hari ini hari di mana beribu-ribu Rohingya terbunuh,” kata pemimpin muda Maung Sawyedollah dengan linangan air mata ketika mengetuai perhimpunan di Kutupalong – penempatan pelarian terbesar di dunia.
“Hanya Rohingya yang dapat memahami keperitan 25 Ogos. Lima tahun lalu hari ini hampir satu juta Rohingya kehilangan tempat tinggal. Pada hari ini pada 2017 lebih 300 kampung kami hangus jadi abu,” katanya.

“Apa yang kami mahukan cuma pulang dengan selamat dan bermaruah ke tanah air kami,” kata Sayed Ullah, seorang lagi ketua masyarakat.
“Malangnya, tangisan kami tidak didengari. Masyarakat antarabangsa tidak bertindak. Di kem-kem, kami meringkuk di tempat perlindungan dan hampir tidak dapat bertahan dengan sekadar derma,” katanya.
Ramai yang menjeritkan slogan turut menuntut pemansuhan undang-undang 1982 yang melucutkan kerakyatan mereka di Myanmar, di mana mereka dilihat sebagai orang asing. – AFP, 25 Ogos, 2022.
Komen