KETUA Pembangkang Anwar Ibrahim menyelar ahli politik tertentu kerana meraikan pemenjaraan bekas perdana menteri Najib Razak.
Presiden PKR itu berkata beliau pelik apabila ada beberapa pemimpin, yang beliau dapati korup, bergembira dengan hukuman yang dijatuhkan ke atas Najib.
“Jika kita lihat reaksi terhadap hukuman Najib itu, saya nampak pemimpin lain yang rasuah juga cakap ‘baguslah’.
“Saya rasa pelik,” kata Anwar kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata rasuah tidak eksklusif kepada orang tertentu sahaja, mendakwa orang lain juga patut disiasat.
Ahli Parlimen Port Dickson itu bagaimanapun tidak menyebut mana-mana nama secara khusus namun menjelaskan ia sudah menjadi rahsia yang diketahui umum apabila ada yang telah kumpul kekayaan berbilion ringgit.
Katanya ia turut didedahkan dalam Pandora dan Panama Papers.
Justeru, Anwar mengingatkan orang lain yang korup supaya tidak menganggap mereka selamat.
“Jangan fikir anda boleh diselamatkan hanya kerana anda bercakap seolah-olah anda tidak korup,” katanya.
Pada Selasa, Najib disumbat ke Penjara Kajang selepas Mahkamah Persekutuan membatalkan rayuannya dan mengekalkan hukumannya berhubung kes SRC International Sdn Bhd. – 25 Ogos, 2022.
Komen