MKT Umno mesyuarat Sabtu malam


The Malaysian Insight

Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Umno akan diadakan beberapa jam selepas majlis taklimat presiden mengenai isu semasa kepada pimpinan akar umbi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Ogos, 2022.

MAJLIS Kerja Tertinggi (MKT) Umno akan bermesyuarat pada sebelah malam Sabtu ini, beberapa jam selepas majlis taklimat presiden pada siangnya, yang dipanggil untuk menerangkan “isu semasa terkini”.

Panggilan taklimat khas presiden dan mesyuarat MKT Umno ini dibuat sehari selepas bekas perdana menteri Najib Razak mula menjalani hukuman penjara 12 tahun setelah Mahkamah Persekutuan menolak rayuan akhirnya berhubung sabitan kes SRC International Sdn Bhd.

MKT Umno akan bermesyuarat pada 8 malam selepas majlis taklimat presiden yang diadakan pada 2 petang, berdasarkan dua surat panggilan berasingan yang dikeluarkan Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan.

Kedua-dua surat panggilan itu dikeluarkan semalam (24 Ogos).

Ahli MKT Umno Mohd Razlan Muhammad Rafii yang dihubungi mengesahkan menerima panggilan mesyuarat itu.

“Ya, ada mesyuarat malam itu,” katanya ringkas.

Surat panggilan mesyuarat MKT Umno tidak menyatakan agenda perbincangan tetapi hanya menyebut akan dipengerusikan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Surat panggilan majlis taklimat presiden pula hanya menyebut ia berkenaan “isu semasa terkini”. Surat itu ditujukan kepada ahli MKT Umno dan exco tiga sayap Wanita, Pemuda dan Puteri.

Semalam, melalui mesej di Twitter, Ahmad menghebahkan majlis taklimat khas presiden akan berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) dan terbuka kepada semua ahli jawatankuasa Umno bahagian serta pimpinan parti “yang ingin hadir”.

Dalam satu kenyataan semalam, Zahid berkata Umno terkilan kerana Najib tidak dapat mengemukakan bukti baharu dalam rayuan akhirnya, sementara peguam belanya yang baharu dilantik tidak pula diberikan kebenaran untuk menangguhkan kes.

Umno juga akan terus bersama Najib dalam menghadapi perbicaraan kes lain terhadapnya “bagi menjamin beliau mendapat keadilan dan tidak dimangsakan dengan tekanan politik”, tambahnya.

Lima panel hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat mengekalkan sabitan selepas mendapati pembelaan Najib terhadap tuduhan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram tidak konsisten dan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Peguam Najib yang baharu dilantik Hisyam Teh Poh Teik tidak berhujah kerana mahu prosiding rayuan ditangguh sehingga tiga empat bulan. 

Najib hari ini dibawa ke mahkamah dari Penjara Kajang untuk sambung bicara kes kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.28 bilion.

Beliau berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan berjumlah RM2.28 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram.

Najib juga ada tiga kes lain yang sedang dibicara melibatkan jenayah rasuah, pecah amanah serta dakwaan meminda laporan akhir audit syarikat dana kedaulatan negara.

Zahid sebelum ini menegaskan Umno akan terus bersama Najib bagi menjamin beliau mendapat keadilan dan tidak dimangsakan dengan tekanan politik. 

Pada Isnin, ketua-ketua Umno bahagian mengadakan pertemuan di ibu pejabat parti, sehari sebelum Mahkamah Persekutuan memutuskan rayuan Najib.

Pertemuan tergempar itu diikuti perjumpaan pemimpin tinggi Umno dengan Perdana Menteri Ismail Sabri di Sri Perdana di Putrajaya.

Agenda pertemuan menjadi spekulasi, dipercayai menyentuh tempoh pembubaran Parlimen dan pilihan raya. – 25 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen