Ketua polis negara Jepun letak jawatan kerana pembunuhan Abe


Shinzo Abe dibunuh ketika beliau menyampaikan ucapan di jalan di wilayah Nara pada 8 Julai lalu.– Gambar EPA, 25 Ogos, 2022.

KETUA Agensi Polis Kebangsaan Jepun mengumumkan peletakan jawatannya pada Khamis selepas siasatan terhadap keselamatan bekas perdana menteri Shinzo Abe, yang dibunuh bulan lalu.

“Kami telah memutuskan untuk merombak kakitangan kami dan memulakan semula tugas keselamatan kami, dan itulah sebabnya saya menyerahkan peletakan jawatan saya kepada Suruhanjaya Keselamatan Awam Kebangsaan hari ini,” kata Itaru Nakamura kepada pemberita.

Beliau membuat pengumuman itu pada sidang akhbar yang memperincikan penemuan penyiasatan terhadap kelemahan bagaimana bekas perdana menteri itu dilindungi.

“Ketika kami meneliti dan kejadian itu, kami memutuskan untuk memulakan semula dan merombak sistem keselamatan kami,” tambah Nakamura.

Abe ditembak dan dibunuh semasa kempen pada 8 Julai di wilayah Nara.

Suspek pembunuhnya ditahan di tempat kejadian dan dipercayai menyasarkan Abe kerana menyangka beliau ada kaitan dengan Gereja Penyatuan.

Abe adalah ahli politik terkenal Jepun dan perdana menteri paling lama berkhidmat, tetapi keselamatan agak longgar ketika beliau menyampaikan ucapan di jalan di wilayah barat.

Polis tempatan di kawasan itu telah pun mengakui kelemahan “tidak dapat dinafikan” berhubung keselamatan bekas pemimpin itu. – AFP, 25 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen