PAKATAN Harapan (PH) memerlukan kira-kira 20,000 ejen pilihan raya dan mengira undi (Paca) bagi pilihan raya umum akan datang untuk mengelakkan berlakunya penipuan pilihan raya, kata Rafizi Ramli daripada PKR.
Naib presiden parti itu mendakwa gabungan pemerintah Barisan Nasional (BN) akan melakukan penipuan jika pilihan raya terlalu dekat untuk diadakan.
“Jika Najib tahu pilihan raya terlalu hampir untuk dibuat, satu-satunya jalan baginya adalah dengan menipu. Risiko terbesar bagi pembangkang bukan kempen tetapi penipuan pilihan raya.
“Saya sangat risau kita tidak akan berjaya memperoleh 20,000 ejen pilihan raya. Kita hanya mempunyai 3,000 orang daripada Invoke, “katanya merujuk kepada sukarelawan NGO miliknya.
Rafizi berkata terdapat 3,000 sukarelawan yang menjalani latihan Paca akan dihantar ke 92 kerusi kecil, yang terdiri daripada 50 kerusi Parlimen dan 42 kerusi negeri.
Antara penipuan pilihan raya yang Rafizi dakwa akan dilakukan BN adalah memanipulasi undi pos oleh perkhidmatan awam.
“Satu juta pengundi penjawat awam akan dimanipulasi. Ia menunjukkan dua perkara yang Umno takut dan Umno tidak yakin dengan undi kakitangan awam,” katanya.
Ahli Parlimen Pandan itu mengatakan hanya DAP tidak mempunyai masalah untuk merekrut agen Paca terutama di kawasan bandar.
“Parti PH kecuali DAP mempunyai agen pilihan raya mereka sendiri. PKR, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Amanah jauh ketinggalan,” katanya.
Beliau juga menjelaskan, kebiasaanya parti politik menyerahkan pelantikan agen Paca diputuskan oleh calon mereka.
Rafizi menyeru orang ramai untuk mendaftar menjadi agen Paca atau sukarelawan kerana pilihan raya yang semakin hampir.
“Seluruh negara perlu bersiap sedia dengan pantas. Rakyat sudah buat pilihan mereka. Sekarang kita perlukan sukarelawan untuk mencegah aktiviti penipuan berlaku ketika pilihan raya.” – 25 Februari, 2018.
Komen
Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan