Guan Eng gesa kecualikan cukai 10% jualan dalam talian bawah RM500


Ravin Palanisamy

Pengerusi DAP LIm Guan Eng berkata rakyat tidak patut dibebankan dengan lebih banyak cukai. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Ogos, 2022.

PENGERUSI DAP LIm Guan Eng menggesa kerajaan memansuhkan cukai jualan 10% ke atas barangan bernilai rendah (LVG) yang dijual dalam talian berharga RM500 ke bawah.

Katanya, rakyat tidak patut dibebankan dengan lebih banyak cukai lebih-lebih lagi apabila kerajaan bersetuju untuk melaksanakan cukai minimum global sebanyak 15% kepada sesetengah syarikat multinasional (MNC) mulai Januari tahun depan.

“Di bawah cawangan cukai multinasional Lembagaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), terdapat hampir 3,000 MNC yang bakal memberikan hasil tambahan bernilai ratusan juta ringgit apabila kadar cukai 15% dilaksanakan pada 1 Januari 2023.

“Dengan hasil tambahan itu tiada lagi keperluan untuk mengenakan jualan 10% cukai ke atas semua jualan dalam talian untuk barangan bernilai rendah (LVG) di bawah RM500 pada tahun depan,” kata bekas menteri kewangan itu dalam kenyataan hari ini. 

Dewan Rakyat pada 4 Ogos meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Cukai Jualan (Pindaan) 2022, yang bertujuan untuk mengenakan cukai jualan rata 10% ke atas barangan yang dibeli dalam talian dan dihantar ke Malaysia oleh vendor yang berdaftar dengan Kementerian Kewangan.

Kadar rata itu akan dikenakan ke atas LVG yang dijual dalam talian berharga RM500 ke bawah dan akan berkuat kuasa mulai Januari tahun depan.

Timbalan Menteri Kewangan Mohd Shahar Abdullah ketika membentangkan rang undang-undang tersebut berkata kerajaan dijangka mengutip RM200 juta setahun daripada pelaksanaan cukai ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif LHDN Mohd Nizom Sairi dilapor berkata kadar 15% cukai itu akan memperuntukkan semula lebih AS$125 bilion keuntungan daripada kira-kira 100 MNC yang terbesar dan teruntung di dunia kepada semua negara.

Dalam kenyataannya hari ini, Lim seterusnya mencadangkan agar cukai jualan 10% ke atas pembelian dalam talian LVG di bawah RM500 daripada pembekal tempatan dimansuhkan, dan bukannya mengenakan 10% jualan dalam talian ke atas pembekal asing.

Ini bagi mewujudkan persaingan sihat supaya pembekal tempatan dapat menikmati faedah yang sama seperti pembekal asing, katanya.

Tambahnya, pengecualian cukai 10% itu akan membantu mengurangkan beban kewangan golongan berpendapatan rendah yang biasanya membeli LVG dalam talian.

“Keperluan kerajaan untuk mendapatkan hasil tambahan boleh dipenuhi dengan 15% cukai global yang dicadangkan ke atas MNC, yang akan lebih daripada mencukupi untuk menggantikan cukai jualan dalam talian 10% ke atas semua LVG RM 500 sama ada dari bawah pembekal asing atau tempatan.

“Bukankah lebih masuk akal dan manusiawi untuk meraih pendapatan tambahan daripada MNC yang menguntungkan dan bukannya kumpulan berpendapatan rendah?,” kata Lim. – 25 Ogos, 2022.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen