Sarawak tunggu Sabah untuk tubuh Blok Borneo


Jason Santos

Sarawak kini menunggu Sabah bagi mewujudkan autonomi politik dan membentuk Blok Borneo untuk mentadbir kedua-dua negeri sebagai rakan setaraf dalam Persekutuan Malaysia, kata Timbalan Presiden Warisan Darell Leiking. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Februari, 2018.

SARAWAK kini menunggu Sabah untuk mendapatkan autonomi politik bagi kedua-dua negeri dengan menubuhkan Blok Borneo bagi mentadbir Persekutuan Malaysia, kata Timbalan Presiden Warisan Darell Leiking.

Autonomi politik bermakna tiada parti Malaysia Barat atau mana-mana parti membentuk kerajaan negeri, tetapi Blok Borneo diberikan autoriti untuk mentadbir Borneo dengan status yang sama seperti Negeri Bersekutu Malaya.

“Sehingga hari ini, Sabah tidak mempunyai autonomi politik seperti Sarawak yang juga ditadbir oleh parti tempatan. Rakyat Sarawak kini menunggu sebuah parti di Sabah yang berkongsi asas (pemahaman dan pendirian) yang sama bagi menerajui dan mengambil alih (pentadbiran) negeri Borneo,” katanya.

“Sebaik sahaja pengundian, penduduk Sarawak saya percaya jika Warisan menang, mereka akan menghubungi Shafie Apdal (presiden Warisan) untuk membuat pendirian tentang idea Blok Borneo, sebagai sebahagian daripada kerajaan baru Malaysia.

“Sabah perlu memutuskan sendiri masa depan ekonomi, politik dan sosialnya dan bagaimana ia perlu beroperasi dalam Malaysia,” katanya.

Selain itu, Leiking berkata Sabah akan memulakan kembali keperluan visa untuk penduduk Sarawak memasuki negeri itu, mengatakan yang selaku rakan persekutuan kemasukan orang bukan Sabah perlu dikawal selia.

Ketika ini peraturan itu digunakan oleh Sarawak, beliau mahu peraturan itu dikuatkuasakan kembali bagi menghormati Perjanjian Malaysia 1963 dan taraf saksamanya sebagai negeri dalam persekutuan.

Rakyat Sabah boleh memasuki Sarawak dan berada di sana selama 90 hari buat masa kini, tetapi penduduk Sarawak bebas melawat Sabah dan ini termasuklah untuk bekerja di sektor swasta.

Dalam isu lain, Leiking berkata Dr Mahathir adalah calon perdana menteri yang dipilih Pakatan Harapan (PH) bukannya Warisan, tetapi matlamat PH dan Warisan masih dikongsi bersama iaitu untuk menyingkirkan Najib dan Ketua Menteri Sabah Musa Aman.

“Ia bukan pilihan kami tetapi pilihan Malaya mengenai siapa mereka mahu jadi perdana menteri.

“Tetapi kami perlu ada pendirian untuk sokong pihak mana dan pihak yang tepat adalah yang mahu menyingkirkan kerajaan Barisan Nasional dari Sabah dan kerana itu kami menyokong PH,” katanya. – 25 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen