BEKAS peguam negara Mexico Jesus Murillo Karam yang terkait kes kehilangan 43 pelajar kolej perguruan pada 2014 akan dibicarakan di mahkamah.
Murillo Karam akan dibicarakan atas tuduhan kehilangan paksa, penyeksaan dan menghalang keadilan, Majlis Kehakiman Persekutuan.
Beliau sebelum ini mengetuai siasatan kehilangan pelajar terbabit yang menggemparkan Mexico serta mencetus kecaman antarabangsa.
Pendakwa raya minggu lalu berkata waran tangkap terhadap berpuluh lagi suspek termasuk anggota tentera, pegawai polis dan anggota kartel dadah telah dikeluarkan.
Menurut siasatan, 43 pelajar terbabit menaiki lima bas untuk menghadiri protes di Mexico City sebelum hilang pada 2014.
Penyiasat berkata ketika dalam perjalanan bas itu diarah berhenti oleh polis korup di bandar Iguala, Guerrero dan kumpulan pelajar itu diserahkan kepada kartel dadah.
Menurut laporan rasmi yang dikeluarkan pada 2015, kartel itu tersalah anggap pelajar berkenaan sebagai anggota kumpulan musuh lalu membunuh mereka. Mayat kesemua pelajar itu dibakar di tempat pembuangan sampah dan dibuang ke dalam sungai.
Minggu lalu, suruhanjaya bebas yang menyiasat kes tersebut menyimpulkan kehilangan pelajar berkenaan melibatkan pelbagai institusi.
Siasatan suruhanjaya itu mendapati anggota tentera bertanggungjawab atas kejadian itu, sama ada secara langsung atau disebabkan kecuaian mereka. – AFP, 25 Ogos, 2022.
Komen