PERSATUAN perniagaan terkemuka Turkiye mengesahkan menerima surat amaran daripada Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) mengenai kemungkinan mengenakan sekatan terhadap negara itu jika terus menjalankan perniagaan dengan Russia.
Washington semakin bimbang kerajaan dan perniagaan Russia menggunakan Turkiye untuk mengelak sekatan kewangan dan perdagangan Barat yang dikenakan terhadap negara tersebut sebagai tindak balas pencerobohan Kremlin ke atas Ukraine enam bulan lalu.
Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan dan rakan sejawatnya dari Russia Vladimir Putin bersetuju untuk meningkatkan kerjasama ekonomi pada sidang kemuncak di pusat peranginan Laut Hitam di Sochi awal bulan ini.
Data rasmi menunjukkan nilai eksport Turkiye ke Russia antara Mei dan Julai meningkat hampir 50% daripada angka tahun lalu.
Import Tukiye terhadap minyak Russia semakin meningkat dan kedua-dua pihak bersetuju untuk beralih kepada pembayaran “ruble” untuk pembelian gas asli yang dieksport syarikat pengeluar terbesar, Gazprom.
Timbalan Setiausaha Perbendaharaan AS, Wally Adeyemo melakukan lawatan ke Ankara dan Istanbul pada Jun untuk menyatakan kebimbangan Washington mengenai oligarki Russia dan perniagaan besar menggunakan entiti Turkiye untuk mengelak sekatan Barat.
Anggota Nato, Turki – menjalinkan hubungan baik antara Moscow dan Kyiv –cuba untuk kekal neutral dalam konflik dan enggan menyertai rejim sekatan antarabangsa.
Adeyemo menyusuli dengan surat kepada persatuan perniagaan TUSIAD Turkiye dan Dewan Perniagaan Amerika Syarikat di Turkiye memberi amaran syarikat dan bank dalam bahaya untuk disekat.
TUSIAD dalam satu kenyataan berkata persatuan itu sudah menyampaikan surat berkenaan kepada kementerian luar dan kewangan Turkiye.
The Wall Street Journal melaporkan kandungan surat itu, minggu ini. – AFP, 24 Ogos, 2022.
Komen