AS lanjut larangan perjalanan ke Korea Utara


Jabatan Negara AS mengumumkan tempoh lanjutan larangan ke Korea Utara hingga 31 Ogos 2023, menerusi notis yang diterbitkan Daftar Persekutuan pada Selasa, lapor Agensi Berita Yonhap. – Gambar EPA, 24 Ogos, 2022.

AMERIKA Syarikat (AS) melanjutkan larangan perjalanan ke Korea Utara selama setahun lagi, menurut notis dikeluarkan kerajaan negara itu, hari ini.

Jabatan Negara mengumumkan tempoh lanjutan larangan hingga 31 Ogos 2023, menerusi notis yang diterbitkan Daftar Persekutuan pada Selasa, lapor Agensi Berita Yonhap. 

Sekatan itu dikuat kuasa sejak 2017 dan diperbaharu setiap tahun – sebelum ini, tempoh tamat sekatan ditetapkan pada akhir bulan ini.

“Jabatan Negara memaklumkan bahawa masih terdapat risiko serius kepada warga AS jika ditahan untuk tempoh jangka masa panjang, mendatangkan mudarat terhadap keselamatan fizikal mereka.

“Oleh itu, semua pasport AS kekal tidak sah untuk perjalanan ke, masuk, atau melalui Korea Utara melainkan mendapat kebenaran khas untuk melakukan perjalanan sedemikian di bawah kuasa Setiausaha Negara,” menurut kenyataan itu.

Pada September 2017, AS melarang semua perjalanan ke Korea Utara selepas kematian seorang pelajar Amerika, Otto Warmbier, yang mengalami kecederaan serius semasa dalam tahanan kerana didakwa mencuri poster propaganda. – Bernama, 24 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen