RAKYAT Sabah akan mendapat jawatan lebih bagus jika Barisan Nasional (BN) terus berkuasa di Sabah, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Abdul Rahman Dahlan.
Katanya, orang Sabah boleh mendesak jawatan penting di peringkat kerajaan persekutuan diberikan kepada mereka, seterusnya membolehkan mereka menggubal dasar yang “memihak” kepada negeri.
Tambahnya lagi, ada kemungkinan jawatan itu boleh mengatasi lima jawatan menteri persekutuan yang kini dipegang rakyat Sabah.
Rahman merujuk kepada jawatannya sebagai menteri bertanggungjawab ke atas Unit Perancang Ekonomi dan empat lagi jawatan pangkat menteri dipegang ahli politik Sabah iaitu menteri sains dan teknologi; menteri tenaga, teknologi hijau dan air; menteri komunikasi dan multimedia dan menteri luar.
“Saya boleh jamin tuan-tuan, pandangan tuan-tuan diberi perhatian oleh perdana menteri. Jika BN kuat dan kita kekal begitu, orang Sabah berpeluang mendapat jawatan lebih baik berbanding sekarang.
“Jadi, menjelang pilihan raya, jangan ikut hati. Buat strategi. Strategi kita adalah untuk mengukuhkan BN dan menang pilihan raya dengan bergaya, jadi kita boleh dapat jawatan lebih penting.
“Bila kita ada lebih kuasa dan suara, kita boleh pengaruhi dasar persekutuan untuk Sabah.
“Jadi pilihlah BN kerana itulah yang akan kami berikan,” katanya kepada wartawan pada program “Ramai-Ramai” di Kota Kinabalu hari ini.
Menurutnya, Sabah berada pada kedudukan sekarang kerana kekuatan BN termasuklah jawatan dalam Kabinet yang diberikan kepada ahli Parlimen dari Sabah.
Tidak seperti pembangkang, katanya lagi, BN mempunyai dasar, rancangan pembangunan dan pengalaman mentadbir negara, sementara parti seperti Warisan tidak ada apa-apa kecuali tarikan emosi untuk meraih undi.
“Pembangkang pergi ke seluruh Sabah, meminta pengundi mengundi mereka dengan merayu seperti ‘tolong undi kami, orang BN jahat, mereka kejam’. Orang Sabah akan hancur kalau undi mereka,” katanya.
Rahman juga mengatakan pendekatan “Bangsa Sabah” digunakan Shafie Apdal sudah hilang wibawa kerana selepas sekian lama menjadi menteri persekutuan, tiada sumbangan diberikan Shafie.
“Kalau saya boleh tanya, apakah dasar pendidikan, pembangunan, ekonomi, luar negara dan sosialnya?
“Sebaliknya dia ke hulu ke hilir beritahu cerita emosi, retorik dan mahu balas dendam. Saya percaya dia tak akan tinggalkan BN jika dia dapat apa yang dia mahu. Ada benda yang dia minta. Kita semua tahu apa dia nak,” kata Rahman yang mungkin merujuk kepada dakwaan Perdana Menteri Najib Razak yang Shafie pernah meminta jawatan ketua menteri Sabah diberikan kepadanya. – 25 Februari, 2018.
Komen