Sarkas di mahkamah


Faisal Tehrani

SARKAS bermula sebagai satu hiburan pada 1768 dan dikatakan bermula di tangan Philip Astley. Ia kemudian diperkenalkan di Amerika Syarikat, iaitu di Philadelphia pada bulan Ogos 1797 oleh John Bill Ricketts.

Tahun yang sama, Philip Lailson dan para ‘pelakonnya’ mengenakan pakaian untuk “bentuk pementasan baru” ini dan berarak di jalan raya.

Saya selalu membayangkan bagaimana jika drama Mahkamah Keadilan oleh tokoh teater Muslim dari Mesir, Taufik al Hakim itu dipentaskan kembali pada masa ini.

Tetapi apakah hubung kait mahkamah dan sarkas?

Elemen busana memang merupakan satu kriteria utama dalam sarkas. Nah, bayangkan jika sebuah perbicaraan itu adalah sarkas. Hal ini misalnya dapat dilihat pada tindak-tanduk salah seorang peguam dalam sebuah kes perbicaraan terkemuka baru-baru ini.

Peguam tersebut ketika perbicaraan di Mahkamah Persekutuan telah memohon mahkamah untuk penangguhan atas alasan beliau dijemput pembelaan pada saat-saat terakhir untuk membentangkan hujah mengenai usul pengecualian.

Beliau menyatakan atas sebab jemputan minit terakhir itu, beliau terpaksa meninggalkan sebuah program lain, dan tidak berkesempatan untuk “memakai pakaian yang sesuai” untuk mahkamah.

Hujahan peguam itu bagaimanapun ditukas Timbalan Pendakwa Raya (ad hoc), yang menyatakan permohonan penangguhan itu berniat jahat (mala fide) dan satu lagi taktik pembelaan untuk menangguhkan perbicaraan berprofil tinggi tersebut.

Pada tahun 1825, sarkas mendapat sebuah ‘bangunan’ atau ‘tempat’ apabila J Purdy Brown mengangkangkan kanvas khemah untuk kumpulan sarkasnya. Ia bertujuan untuk mengutip tiket dan menempatkan audien yang hadir.

Mereka yang tidak dapat masuk ke ruang sarkas akan berada di perkarangan untuk membuat riuh seketika, sebelum beredar atas faktor cuaca atau keperluan hemat diri (ke tandas atau makan dan sebagainya).

Elemen riuh ini sangat penting dalam sarkas yang bergerak dari satu pekan ke satu pekan di mana para pembuat bising ini akan dibayar untuk menjerit-jerit agar mendapat perhatian penduduk atau masyarakat setempat.

Pendekatan ini misalnya digunakan oleh syarikat sarkas PT Barnum pada tahun 1843. Bahkan syarikat ini mengupah kanak-kanak kecil nakal untuk bikin kecoh supaya kehadiran mereka mendorong tanda tanya dan rasa ingin tahu.

Kanak-kanak pertama digajikan untuk membuat hiruk pikuk ini adalah Charles Sherwood Stratton atau dikenal sebagai General Tom Thumb.

Pendekatan meriah ini diikuti oleh syarikat sarkas Steam Calliope pada tahun 1857 dan sejak itu sarkas sinonim dengan orang kampung yang diupah untuk berbuat semak dan bising setiap kali pementasan sarkas dimainkan.

Pada tahun 1872, syarikat PT Barnum yang makin berkembang bekerjasama dengan firma sarkas lain iaitu William C Coup dan Dan Castello untuk mengangkut tukang buat kecoh dan ahli sarkasnya dengan tren dan wagon.

Oleh sebab tukang kecoh dari desa ini adalah kebanyakannya mereka yang tiada pekerjaan dan bergantung dengan wang upah sedikit dari sarkas ini, mereka juga sering marah-marah sehinggalah syarikat sarkas itu mendiamkan rungutan mereka dengan agihan makanan percuma.

Pada tahun 1892, dipercayai hamburger pertama mula diedarkan kepada tukang kecoh ini. Ia mendorong idea buat Frank Menches membuka gerai dan menjual makanan ringan di luar sarkas, dengan tumpuan utama sosej, dan sandwich.

Sejak itu di mana ada sarkas di situlah ada kekecohan dan jualan makanan seperti ais krim dan keropok.

Sarkas mendapat satu elemen lain iaitu haiwan ganas. Pada tahun 1882 misalnya, Barnum membawa‘Jumbo’ seekor gajah ke Amerika Syarikat.

Dalam tahun 1884, aksi haiwan ini menjadi persaingan apabila syarikat Al, Otto, Alf, Charles dan John Ringling dalam tahun 1884, turut membawa masuk gajah.

Ini kemudian mendorong syarikat sarkas lain yang lebih miskin seperti The Adam Forepaugh Circus membawa masuk binatang biasa (bukan gajah) tetapi anjing ganas pada tahun 1891.

Elemen haiwan ini mengingatkan kita kepada insiden bagaimana peguam sebuah kes terkemuka telah tercedera di tangan ekoran seekor anjing pengawal besar yang manja. 

Dalam satu laporan portal berita berasingan pada tahun 2019, dilaporkan mahkamah terpaksa menangguhkan sebuah perbicaraan berprofil tinggi ekoran anjing garang tetapi manja ini.

Namun tidak dapat dipastikan apakah sarkas dahulu kala itu menggunakan anjing jenis Belgian Malinois, kacuk baka tempatan. Pun, sejak itu sarkas biasa menampilkan binatang liar termasuklah singa.

Selepas Perang Dunia Kedua, kebanyakan anak muda di Amerika yang sukar beroleh pekerjaan dan menganggur telah menghurungi syarikat sarkas.

Ini membawa perbezaan kerana sebelum ini kumpulan sarkas menggunakan mak cik kampung yang tidak profesional dan dibayar dengan harga murah.

Pada tahun 1941, Walt Disney yang ikut terlibat dalam perniagaan sarkas dengan jenama Dumbo telah memberi anak-anak muda gaji untuk bekerja di sarkas, antara lain dengan membuat kecoh di luar pekarangan sarkas.

Satu perubahan mendadak berlaku pada tahun 1944 apabila sebuah khemah sarkas terbakar dan menghempap audien 9 minit selepas bermula, mengorbankan nyawa 168 orang.

Enam orang pekerja sarkas dipenjarakan dan undang-undang baru untuk khalayak atau penonton dikemukakan. Akibatnya sejak 16 Julai 1956, sarkas diwartakan hanya untuk persembahan dalam bangunan.

Hiburan sarkas juga mendorong pengamal sarkas terlatih. Pada tahun 1968, sebuah kolej untuk melahirkan badut dibuka di Florida oleh Ringling Brothers, dan turut menerima permintaan badut wanita pada tahun 1970.

Di Malaysia, menurut saya kaitan sarkas dan perbicaraan mahkamah amat kuat sejak dramatis terkemuka Mesir, Taufik al Hakim menghasilkan drama tersohornya, ‘Mahkamah Keadilan’. 

Pada tahun 1980an misalnya drama ini diketengahkan berulang kali di negara kita, hasil usaha terjemahan Nahmar Jamil. 

Taufik mengkritik gejala korupsi yang berleluasa di Mesir yang mana perbicaraan di mahkamah boleh dirampas dan ditukar menjadi seperti sarkas iaitu lengkap dengan elemen pembadutan, haiwan ganas, busana tertentu dan tukang sorak. – 24 Ogos, 2022.  

* Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Bersekutu untuk sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard. Faisal menulis mengenai pelbagai perkara yang menjadi minat beliau.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen