Kos tenaga naik, Belgium buat persediaan hadapi musim sejuk


Peningkatan kos tenaga boleh menimbulkan kesukaran jangka panjang kepada Belgium pada musim sejuk akan datang. – Gambar EPA, 23 Ogos, 2022.

PERDANA Menteri Belgium pada Isnin berkata peningkatan kos tenaga boleh menimbulkan kesukaran jangka panjang kepada negara pada musim sejuk akan datang.

“Lima hingga 10 musim sejuk akan datang akan menjadi sukar,” kata Alexander De Croo ketika melawat terminal gas asli cecair (LNG) di Zeebrugge, lapor Agensi Anadolu.

De Croo berkata keadaan sukar untuk Eropah dan beberapa sektor menghadapi masalah serius akibat kenaikan harga tenaga.

Tambahnya pihaknya sedang giat menjalankan pemantauan dan adalah penting untuk membuat persediaan bagi menghadapi keadaan terburuk.

Kenaikan harga tenaga memberi kesan kepada ekonomi Belgium, terutamanya dalam sektor yang banyak bergantung kepada tenaga. 

Kapasiti pengeluaran beberapa sektor dikatakan telah dipotong separuh. Satu perempat daripada gas asli negara digunakan dalam operasi perindustrian.

Rusia mengancam untuk mengurangkan penghantaran gas ke Eropah kerana banyak negara barat termasuk Kesatuan Eropah (EU) mengenakan sekatan ke atas individu dan entiti Rusia sebagai reaksi terhadap perang Moscow di Ukraine, yang kini memasuki bulan keenam.

Dengan mengandaikan senario terburuk jika Rusia memotong bekalan gas sepenuhnya, EU mengumumkan rancangan untuk mengurangkan penggunaan gas sebanyak 15% dari Ogos hingga Mac bagi mengurangkan permintaan secara beransur-ansur. – Bernama, 23 Ogos, 2022.  


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen