Banjir halang usaha selamat pelombong terperangkap di Mexico


Ahli keluarga 10 pelombong terperangkap dalam lombong arang batu di Mexico sejak 10 hari lalu bercakap kepada media. Hari ini paras air kembali meningkat di kawasan itu. – Gambar EPA, 23 Ogos, 2022.

SERAMAI 10 pelombong masih terperangkap dalam lombong arang batu di utara Mexico, yang kini masuk hari ke-19, manakala banjir menyukarkan usaha menyelamat, kata Presiden Andres Manuel Lopez Obrador.

Paras air kembali meningkat di dalam lombong Pinabete, yang terletak di bandar Sabinas, Coahuila, ketika usaha menyelamat sedang dijalankan, lapor Xinhua.

“Malangnya, kami masih belum dapat menyelamatkan pelombong Sabinas… terdapat kemajuan tetapi kami bernasib malang apabila satu lagi lubang ditenggelami air dan paras air naik semula,” katanya pada sidang media.

Penyelaras kebangsaan bagi perlindungan awam Laura Velazquez berkata paras air di tiga lombong mencecah antara 28 dan 31 meter manakala 13 pam air dengan kuasa kuda 930 digunakan untuk mengeluarkan air.

Menurut pihak berkuasa, lombong Pinabete runtuh pada 3 Ogos apabila pelombong menggali kawasan yang mengandungi air.

Air membanjiri tiga lubang hingga mengakibatkan 10 pelombong terperangkap. – Bernama, 23 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen