Moscow tuduh Ukraine letup kereta anak pemikir Rusia


Perkhidmatan keselamatan Rusia mendakwa pihak Ukraine telah meletakkan bom pada kereta milik pemikir Alexander Dugin (kanan) yang meletup selepas dinaiki anak perempuannya Daria Dugina pada Sabtu lepas. – Gambar Facebook, 23 Ogos, 2022.

RUSIA pada Isnin menuduh Ukraine atas pembunuhan anak perempuan seorang ahli falsafah terkemuka, ketika Kyiv mendakwa hampir 9,000 askarnya telah terbunuh sejak Moscow melancarkan pencerobohannya.

Perkhidmatan keselamatan FSB menuding jari kepada Ukraine atas pengeboman kereta pada Sabtu lalu di pinggir Moscow yang membunuh Daria Dugina, 29, anak perempuan pemikir Rusia Alexander Dugin penasihat pencerobohan Ukraine.

“Jenayah itu dilakukan oleh perkhidmatan khas Ukraine,” kata FSB dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh agensi berita Rusia, sambil menambah bom telah dipasang pada kereta yang dipandu oleh Dugina.

Pembunuhan keji tersebut dan tuduhan Moscow menandakan perubahan yang berpotensi menggugat kestabilan dalam konflik yang sudah mencecah enam bulan itu.

Presiden Rusia Vladimir Putin mengecam pembunuhan wartawan dan pengulas politik itu sebagai “jenayah keji” dalam mesej takziah kepada keluarganya.

FSB berkata, orang yang bertanggungjawab ialah seorang wanita Ukraine yang dilahirkan pada 1979 yang telah menyewa sebuah apartmen di bangunan yang sama di mana Dugina tinggal.

Selepas pengeboman kereta, dia telah melarikan diri ke negara anggota Kesatuan Eropah, Estonia, tambahnya.

Dugin, 60, intelektual kanan Rusia lantang menyokong pencerobohan Rusia ke atas Ukraine, begitu juga anak perempuannya. Laporan media Rusia mencadangkan Dugina telah meminjam kereta bapanya pada saat-saat akhir.

Pada hujung minggu, Kyiv menafikan sebarang kaitan dengan pengeboman itu. – AFP, 23 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen