Batik beri pulangan besar pada karyawan wanita


Diyana Ibrahim

Pengusaha Mazlizah Ngah berkata kesukaran mendapatkan pelukis batik yang benar-benar berkemahiran menyebabkan mereka dibayar upah yang tinggi. – Gambar The Malaysian Insight, 23 Ogos, 2022.

PERUSAHAAN batik kini berpotensi menjadi antara industri yang memberikan pulangan menguntungkan kepada golongan wanita, kata pengusaha terlibat di Terengganu.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight, industri yang giat diceburi wanita itu sedang berkembang dan mendapat permintaan tinggi selepas pandemik Covid-19 kembali reda.

Pelukis batik yang kebanyakannya terdiri dari golongan wanita itu juga menerima permintaan tinggi kerana tidak ramai yang mempunyai kemahiran mencanting atau melukis batik.

Seorang pengusaha Mazlizah Ngah, 45 berkata pelukis batik boleh meraih pendapatan RM100 hingga RM200 sehari mengikut helaian yang dapat disiapkan.

Beliau berkata, kesukaran untuk mendapatkan pelukis batik yang benar-benar berkemahiran menyebabkan karyawan itu dibayar dengan upah tinggi.

“Jika berbakat memang boleh (dapat pulangan tinggi) disebabkan nak buat batik ini kena berjiwa seni. Kalau tak ada memang payah, batik itu akan nampak tak hidup.

“Kemudian pasaran batik sekarang juga menguntungkan sebab kerajaan dah wajibkan setiap Khamis kakitangan kerajaan pakai batik,” katanya ketika ditemui.

Selepas lima tahun mengusahakan karya tersebut, Mazlizah kini mempunyai tiga orang pelukis batik.

“Biasanya saya akan bayar mereka RM100 (mengikut) pasang batik disiapkan, ikut helaian. Selalunya empat helai batik dibuat dalam sehari jadi RM200 mereka dapat dalam sehari.”

Beliau banyak mempromosikan batiknya secara dalam talian selain dengan mengenakan batik tersebut ketika menghadiri majlis rasmi atau acara keraian.

“Perniagaan saya aktif di dalam talian, selalunya saya akan jual yang siap jahit.

“Maksudnya setiap pasang baju itu saya jual RM250 kerana ia dibuat khas dan kualiti kain pun kita guna lebih berkualiti,” katanya.

Tambahnya setiap rekaan batik tulis yang dihasilkan itu mempunyai corak ekslusif kerana ia dibuat mengikut tempahan khas.

Para artis berkenaan akan menghasilkan batik di ruang sendiri di rumah masing-masing dan beliau akan mengutip karya tersebut untuk jualan.

“Macam saya pekerja akan buat batik di rumah, dan setiap minggu akan turunlah ambil stok,” kata Mazlizah.

Tambahnya, pembuatan batiknya masih menggunakan kaedah tradisional secara lukisan tangan dan  faktor cuaca memainkan peranan penting dalam proses pengeringan karya itu.

Oleh itu, beliau menghentikan pengeluaran batik pada masa cuaca mendung atau musim tengkujuh untuk mengelakkan mutu karya itu terjejas.

“Kalau biasa musim tengkujuh bulan November atau Disember kita tak buat disebabkan batik tradisional akan guna cahaya matahari.

“Berbanding tempat lain mereka akan guna kipas untuk keringkan tapi kita tak nak sebab sebenarnya lagi merugikan.

“Apabila cuaca lembap dakwat batik akan keluar lebih banyak dan kembang,” katanya.

Seorang lagi pengusaha yang hanya mahu dikenali sebagai Noor Hayati berkata beliau membayar pengkarya tersebut sebanyak RM2,500 hingga RM3,000 sebulan untuk mencanting batiknya

Namun kini industri itu berdepan dengan masalah kekurangan pekerja mahir terutama dari golongan muda, katanya yang mengusahakan batik sejak 28 tahun lalu.

“Sekarang ini saya hanya ada seorang saja pelukis batik, dan keseluruhan pekerja saya ada lima orang melibatkan semua bahagian, seperti proses warna, celur, celup dan pengeringan batik.”

Noor Hayati sebelum ini mampu menggaji 10 orang pekerja namun perniagaannya terjejas teruk kerana ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Jadi masa PKP kita tutup dua tahun memang terjejas teruk jadi sekarang ini kita baru nak pulih semula dan bergerak secara perlahan.

“Sebab itu pekerja kita pun hilang separuh sebab apabila kita buka semula operasi, rata-ratanya sudah ada kerja lain,” katanya.

Pengusaha itu berkata kekurangan itu juga mempengaruhi pengeluarannya kerana beliau kini tempoh lebih lama untuk menyiapkannya.

“Kalau dulu kita hasilkan 50 (batik) dalam sebulan tapi sekarang kita kena anjak tempoh dalam sebulan lebih sebab masalah kekurangan kerja,” katanya.

Mengulas lanjut, Norhayati berkata industri batik tetap berdepan dengan cabaran kenaikan harga bahan mentah dan persaingan dari lambakan batik tiruan di pasaran.

Beliau berkata ia menyebabkan banyak perusahaan batik yang majoritinya diusahakan secara kecil-kecilan terpaksa menutup operasi.

“Jumlah yang tepat itu saya tidak tahu tapi inilah situasi yang berlaku di Terengganu sekarang,” katanya.

Selain itu, pentadbiran PAS di negeri itu juga tidak mendorong kepada permintaan batik seperti dilakukan kerajaan persekutuan..

“Kerajaan PAS tak beri tekanan, mana-mana syarat berbatik dalam majlis rasmi atau untuk kakitangannya.

“Mungkin kerajaan PAS suka pakai jubah kain biasa saja untuk baju untuk acara rasmi,” katanya. – 23 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen