DUA lagi mayat dibawa keluar hari ini daripada timbunan tanah runtuh di sebuah bangunan dianggap suci pengikut syiah di Iraq, menjadikan angka kematian kepada tujuh mangsa.
Pengarah Pertahanan Awam Jawdat Abdelrahman mengesahkan mayat seorang lelaki dan seorang wanita ditemui di bawah timbunan tanah bersebelahan makam di Qattarat al-Imam Ali.
“Kita mengeluarkan tujuh mayat setakat ini selain menyelamatkan enam mangsa termasuk tiga kanak-kanak, namun dipercayai masih ada mangsa terperangkap.
“Pasukan perkhidmatan kecemasan berkata semua mangsa dalam keadaan baik dan sedang dirawat di hospital,” katanya kepada media.
Tanah runtuh berlaku pada Sabtu lalu apabila timbunan tanah bersebelahan makam Qattarat al-Imam Ali runtuh susulan kadar kelembapan yang tinggi merapuhkan struktur tanah di sekelilingnya.
Tanah runtuh kemudian menimpa siling makam dan kemudiannya runtuh serta menimbus pengunjung.
Pekerja keselamatan dapat menghulurkan makanan dan air kepada mereka yang masih terperangkap.
Pasukan penyelamat cuba mencari mangsa terperangkap melalui lubang kecil di celah runtuhan konkrit, lapor Agensi Berita Iraq.
Presiden Iraq Barham Saleh menerusi Twitter menggesa pekerja penyelamat dan sukarelawan supaya terus berusaha menyelamatkan mangsa yang masih terperangkap. – AFP, 22 Ogos, 2022.
Komen