AS, Korea Selatan buat latihan tentera terbesar sejak 2018


Latihan Ulchi Freedom Shield melibatkan Amerika Syarikat dan Korea Selatan menandakan sambungan semula sesi latihan berskala besar selepas dikurangkan sebelum ini kerana Covid-19 dan masalah diplomasi dengan Pyongyang. – Gambar EPA, 22 Ogos, 2022.

AMERIKA Syarikat (AS) dan Korea Selatan memulakan latihan ketenteraan bersama yang terbesar sejak 2018 pada Isnin, kata Seoul.

Ia dilihat sebagai satu langkah yang mungkin menimbulkan kemarahan Korea Utara, yang telah meningkatkan ancaman nuklearnya.

Washington, sekutu rapat Seoul, menempatkan kira-kira 28,500 tentera di Korea Selatan bagi melindungi daripada jirannya yang bersenjata nuklear.

Kedua-dua negara telah lama menjalankan latihan bersama, yang mereka tegaskan sebagai pertahanan semata-mata namun Korea Utara melihatnya sebagai latihan untuk pencerobohan.

Latihan Ulchi Freedom Shield menandakan sambungan semula sesi latihan berskala besar selepas dikurangkan sebelum ini kerana Covid-19 dan masalah diplomasi dengan Pyongyang.

“Kepentingan latihan bersama ini adalah membina semula pakatan Korea Selatan-AS dan mengukuhkan postur pertahanan gabungan dengan menormalkan… latihan gabungan dan latihan lapangan,” kata kementerian pertahanan.

Butiran latihan yang dijalankan dari 22 Ogos hingga 1 September belum dikeluarkan, tetapi secara kebiasaannya termasuk latihan lapangan yang melibatkan pesawat, kapal perang dan kereta kebal.

Semasa mesyuarat minggu lepas, dua negara itu bersetuju untuk “memperluaskan skop dan skala gabungan latihan dan latihan ketenteraan,” sambil mencatat peningkatan jumlah ujian peluru berpandu Korea Utara.

Ini akan bermula “dengan Ulchi Freedom Shield… bagi meningkatkan kesediaan gabungan,” kata mereka dalam satu kenyataan bersama.

Penganalisis berkata Korea Utara mungkin menggunakan latihan itu sebagai alasan untuk menjalankan lebih banyak ujian senjata.

Awal bulan ini, Pyongyang memberi amaran ia akan “menghapuskan” pihak berkuasa Seoul, yang dipersalahkan bagi wabak Covid-19 baru-baru ini di negara terpencil itu. – AFP, 22 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen