MALAYSIA merekodkan lebih banyak kes pulih berbanding jangkitan baharu Covid-19 semalam apabila 4,427 orang sembuh daripada penyakit itu berbanding 2,464 kes baharu.
Ia menjadikan jumlah keseluruhan kes sejak permulaan wabak itu kepada 4,757,752.
Menurut laman web CovidNow Kementerian Kesihatan, sembilan kes kematian direkodkan semalam, menjadikan jumlah keseluruhan kes kematian akibat wabak itu kepada 36,145.
Johor dan Kedah masing-masing mencatat tiga kes kematian, manakala Pahang, Sabah dan Selangor masing-masing satu kes.
Bagi kes jangkitan baharu, Selangor melaporkan kes paling tinggi dengan 748, diikuti Kuala Lumpur (505) dan Sabah (225).
Perak merekodkan 195 kes baharu, Negeri Sembilan (167), Johor (101), Pulau Pinang (91), Melaka (85), Kedah (70), Pahang (66), Sarawak (62), Putrajaya (50), Kelantan (45 ), Terengganu (43), Perlis (9) dan Labuan (2).
Dengan kes pulih melebihi jumlah jangkitan baharu, jumlah kes aktif menurun kepada 38,918.
Antara kes aktif, 37,408 (96.1%) orang menjalani kuarantin di rumah, 32 (0.1%) di pusat kuarantin dan rawatan berisiko rendah, dan 1,409 (3.8%) di hospital.
Terdapat 69 pesakit dirawat di unit rawatan rapi, 33 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan. – 22 Ogos, 2022.

Komen