16 maut kemalangan bas mini, lori di Rusia


Bas mini remuk teruk selepas ia bertembung dengan dua buah trak, sekali gus meragut 16 nyawa dalam kejadian yang berlaku di Ulyanovsk di selatan Rusia. – Gambar AFP, 22 Ogos, 2022.

SERAMAI enam belas orang terbunuh pada Ahad apabila bas mini bertembung dengan dua trak di wilayah Ulyanovsk di selatan Rusia, lapor agensi berita yang memetik perkhidmatan kecemasan.

Menurut saksi yang dipetik agensi berita, sebuah trak terbabas dari jalan apabila ia bertembung dengan sebuah bas mini yang dalam perjalanan ke arah bertentangan berhampiran perkampungan Nikolayevka.

Ketika kemalangan, bas mini itu turut dirempuh dari belakang oleh sebuah lori lain. Menurut rakaman yang disiarkan oleh saluran televisyen Rusia Ren TV, bas mini itu hampir remuk rata sepenuhnya oleh dua trak tersebut.

Kemalangan itu menyebabkan 16 maut, 14 warga Kyrgyz dan dua warga Rusia, menurut pasukan penyelamat yang dipetik oleh agensi berita TASS.

Menteri hal ehwal luar Kyrgyzstan mengesahkan kematian 14 rakyat negara itu dalam satu kenyataan.

Tiga orang lagi, dua lelaki dan seorang wanita, cedera parah dan telah dibawa ke hospital, kata gabenor wilayah Ulyanovsk Alexei Ruskikh di Telegram.

Pelanggaran peraturan keselamatan jalan raya sudah menjadi perkara biasa di Rusia, di mana beberapa kemalangan maut melibatkan bas kerap berlaku sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Pada Januari, lima orang terbunuh dan 21 cedera dalam kemalangan bas di wilayah Riazan, kira-kira 270 kilometer selatan Moscow.

Pada Disember 2019, sebuah bas yang membawa kira-kira 40 penumpang terjunam ke dalam sungai beku di wilayah Zabaikalsk Siberia, meragut 19 nyawa dan mencederakan 21 lagi. – AFP, 22 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen