Arahan pindah ditarik balik selepas kebakaran hutan Sepanyol terkawal


Sebelum ini lebih 2,200 orang penduduk terpaksa dipindahkan berikutan api marak.– Gambar EPA, 22 Ogos, 2022.

ANGGOTA bomba berjaya mengawal kebakaran hutan pada Ahad yang memusnahkan kawasan luas di timur Sepanyol, membolehkan pegawai membatalkan semua arahan pemindahan.

Kebakaran, yang bermula pada Isnin berhampiran Bejis di wilayah timur Valencia, telah memusnahkan lebih 20,000 hektar (50,000 ekar) tanah dan menyebabkan kira-kira 2,200 orang terpaksa dipindahkan.

Tinjauan dari udara pada Ahad menunjukkan ia “tidak lagi mempunyai sebarang medan aktif”¨dan boleh dianggap “stabil”, kata menteri dalam negeri Gabriela Bravo kepada pemberita.

Anggota bomba berkata tiupan angin berkurangan, suhu semalaman yang lebih sejuk dan tahap kelembapan yang lebih tinggi membolehkan mereka mengawal kebakaran.

Namun Bravo memberi amaran bahawa suhu yang diramalkan tinggi pada Isnin, dengan angin kencang boleh menghidupkan semula api.

Terdahulu pada Ahad, presiden wilayah Valencia Ximo Puig berkata semua mangsa yang masih dipindahkan dibenarkan pulang ke rumah mereka.

“Sekarang adalah masa untuk kembali normal, dengan waspada,” katanya.

Pegawai tempatan pada hari Sabtu telah menarik balik arahan pemindahan di dua kampung, Bejis dan Toras, kerana ancaman daripada api telah berkurangan.

Kira-kira 20 pesawat dikerahkan untuk memadam kebakaran pada Ahad, berbanding 42 pada hari sebelumnya.

Satu lagi kebakaran besar yang berlaku Sabtu lepas kira-kira 200 kilometer (125 batu) ke selatan di Vall de Ebo berjaya dikawal pada Ahad, kata Puig.

Ia telah merosakkan kira-kira 12,000 hektar hutan, semak dan tanah ladang.

Perdana Menteri Pedro Sanchez akan melawat kerosakan kebakaran pada hari Isnin bersama Puig, kata pejabat perdana menteri dalam satu kenyataan. – AFP, 22 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen