5 maut dalam kejadian tanah runtuh di Iraq


SEKURANG-kurangnya lima orang termasuk seorang kanak-kanak maut dalam kejadian tanah runtuh di tengah Iraq pada Ahad. 

Selepas lebih 24 jam menggali melalui batu yang runtuh, kayu dan serpihan lain, “kami telah menemui lima mayat,” kata ketua pertahanan awam Jeneral Abdelrahman Jawdat kepada AFP.

“Itu mungkin angka kematian terakhir,” tambahnya, sambil menambah penggalian masih diteruskan untuk memastikan sekiranya ada mangsa lain.

Ia adalah tragedi terbaharu menimpa Iraq yang kaya dengan minyak namun dilanda kemiskinan.

Jurucakap pertahanan awam Nawas Sabah Shaker berkata sebelum ini bahawa antara enam hingga lapan mangsa dilaporkan terperangkap di bawah serpihan bangunan Qattarat al-Imam Ali, berhampiran bandar Karbala.

Jawdat berkata, pasukan penyelamat telah menemui mayat dua wanita, seorang lelaki dan seorang kanak-kanak, dan sedang berusaha untuk mengeluarkan mayat mangsa kelima, seorang lagi wanita yang mereka temui.

Tiga kanak-kanak berjaya diselamatkan lebih awal, kata perkhidmatan kecemasan, sambil menambah bahawa mereka berada dalam “keadaan baik” dan dipantau di hospital.

Pasukan penyelamat yang bekerja sepanjang malam Sabtu dapat membekalkan bekalan oksigen, serta makanan dan air kepada beberapa mangsa yang terperangkap melalui celah runtuhan bangunan, kata agensi berita INA. – AFP, 22 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen