Warisan tak mungkin menang 15 kerusi di Semenanjung, kata penganalisis


Khoo Gek San

Parti Warisan berasal dari Sabah dan sukar buat mereka untuk meraih pengundi Semenanjung, menurut penganalisis politik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Ogos, 2022.

PARTI Warisan yang berpangkalan di Sabah menyasarkan untuk memenangi sekurang-kurangnya 15 kerusi persekutuan di enam negeri Semenanjung Malaysia pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) untuk menguatkan pengaruhnya dalam politik negara, kata sumber parti.

Sumber memberitahu The Malaysian Insight, Warisan sedang mengintai peluang untuk bertanding di Johor, Negeri Sembilan, Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Kedah selain mahu meraih sekurang-kurangnya 15 kerusi di negeri itu.

Parti itu juga ingin memenangi 15 kerusi Parlimen di Sabah.

Bagaimanapun penganalisis politik berkata, Warisan tidak mungkin meraih sebarang kemenangan di kerusi yang mahu ditandingi di Semenanjung kerana parti yang ditubuhkan sebelum PRU lalu tidak banyak berjasa di Semenanjung Malaysia.

Penolong profesor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Dr Lau Zhe Wei berkata parti itu, logonya atau polisinya tidak dikenali oleh pengundi Semenanjung.

Beliau menyatakan pengundi di sini hanya mengenali pengerusi Warisan Mohamad Shafie Apdal.

Beliau juga berkata, pembabitan Warisan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor memberi petanda bagaimana sambutan pengundi Semenanjung terhadap parti itu.

“Shafie Apdal mempunyai imej yang baik dan memang amat popular tetapi pengundi Johor tidak mengundi Warisan.

“Apabila kita lihat keputusan PRN Johor, kita mendapati Warisan tidak langsung menerima sokongan,” katanya.

Beliau juga berkata, terlalu sukar bagi Warisan untuk bersaing dengan Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Harapan (PH) di Semenanjung kerana kedua-dua kuasa besar ini mempunyai sumber dan penerimaan yang lebih besar.

Sementara itu, pengurus penyelidikan Merdeka Center, Tan Seng Keat berkata Warisan hanya akan memecahkan undi PH dengan bertanding di Semenanjung.

“Saya tidak fikir Warisan mempunyai peluang untuk menembusi Semenanjung. Pengundi juga amat asing dengan Warisan dan Shafie Apdal.

“Reputasi beliau juga merosot selepas kehilangan jawatan ketua menteri Sabah,” katanya.

Beliau berkata, penampilan sulung Warisan pada PRN Johor jelas “tidak boleh diterima”, sambil menambah sukar untuk parti itu mendapat kelebihan di Semenanjung.

Beliau juga berkata, Warisan akan bergelut dari segi mekanisme pemilihan atau pemilihan calon bagi kerusi Semenanjung.

“Kita juga harus memerhatikan calon yang dinamakan oleh Warisan sebelum kita boleh mengulas mengenai peluang mereka untuk menang.”

Beliau menegaskan undi di Semenanjung akan dibahagikan antara BN, PH dan Perikatan Nasional, dan berkata adalah lebih baik untuk Warisan menang besar di Sabah dan kemudian berunding dan bekerjasama dengan parti Semenanjung Malaysia.

Mohamad Shafie Afdal merosot popularitinya selepas kehilangan jawatan Ketua Menteri Sabah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Ogos, 2022.

Mahu menang besar di Sabah juga

Sumber parti berkata pihaknya yakin akan berjaya di Semenanjung pada PRU15 selagi mereka mempunyai calon yang sesuai.

Mereka berkata Warisan percaya akan ada lebih banyak parti politik yang bertanding pada PRU15 jadi parti yang mempunyai reputasi baik berpeluang untuk menembusinya.

Pada PRU14, Warisan hanya bertanding di Sabah dan memenangi 8 kerusi Parlimen. Ia juga berjaya membentuk kerajaan negeri.

Bagaimanapun ia kehilangan kuasa di negeri itu berikutan PRN Sabah tahun lalu.

Bagi PRU15, Warisan menyasarkan untuk mengekalkan kerusi parlimennya serta memenangi sekurang-kurangnya tiga kerusi daripada PH - dua DAP bagi kerusi Sandakan dan Tenom serta kerusi PRK di Tawau.

“Kelihatannya tiga kerusi ini boleh dimenangi,” kata sumber.

The Malaysian Insight melaporkan semalam Warisan menyasarkan 6 kerusi Parlimen dan 10 DUN dalam penyertaan sulungnya di Pulau Pinang yang diperintah Pakatan Harapan (PH) pada PRU15.

Ketua negerinya Jeff Ooi berkata, parti itu optimis untuk memenangi beberapa kerusi kerana beliau percaya gabungan tiga parti itu sedang mengalami kemelut khususnya PKR, menjelang pilihan raya. – 21 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen