PM Jepun positif Covid-19, gejala ringan


Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida dijangka menghadiri Persidangan Antarabangsa Tokyo mengenai Pembangunan Afrika secara maya. – Gambar AFP, 21 Ogos, 2022.

PERDANA Menteri Jepun Fumio Kishida diuji positif Covid-19, kata pejabatnya pada Ahad, seminggu sebelum pemimpin itu dijangka menghadiri persidangan pembangunan Afrika di Tunisia.

Kishida menjalani ujian PCR “selepas mengalami panas dan batuk” sejak petang Sabtu, kata seorang pegawai dari Pejabat Perdana Menteri Jepun.

Laporan media tempatan termasuk penyiar awam NHK berkata beliau kini mungkin menghadiri Persidangan Antarabangsa Tokyo mengenai Pembangunan Afrika (TICAD) pada 27-28 Ogos secara maya.

Jepun mencatat rekod kes Covid-19 dalam beberapa hari kebelakangan ini, walaupun jumlah kematian akibat penyakit itu jauh lebih rendah berbanding negara lain iaitu 36,780.

Kishida, 65, yang memegang jawatan pada Oktober, menjalani suntikan vaksin keempatnya awal bulan ini.

Beliau bercuti bersama keluarga dan sepatutnya kembali bekerja pada Isnin.

Jepun tidak pernah mengenakan larangan yang terlalu ketat dan langkah anti-jangkitan yang menetapkan waktu pembukaan bar dan restoran ditarik balik pada Mac di seluruh negara.

Sempadan negara itu bagaimanapun sebahagiannya dibuka semula walaupun pelancong masih dilarang melainkan mereka melakukan perjalanan berkumpulan secara teratur. – AFP, 21 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen