LIMA rakyat Hong Kong ditahan kerana didakwa mewujudkan sistem penipuan pekerjaan di mana mangsa diumpan ke Asia Tenggara dan kemudian ditahan tanpa kerelaan mereka, kata polis.
Sejak beberapa bulan terakhir ini, mangsa dilaporkan melakukan perjalanan ke negara seperti Myanmar, Kemboja, Thailand dan Laos kerana terpedaya dengan janji palsu sama ada pekerjaan bergaji tinggi atau percintaan, dan kemudian mereka dikurung dan dipaksa bekerja.
Pada Khamis, pihak berkuasa menubuhkan pasukan petugas khas untuk membantu mangsa penipuan itu.
Hampir 36 permohonan bantuan polis berkaitan dengan penipuan pekerjaan, menurut superintendan Tony Ho dari biro jenayah terancang dan kongsi gelap.
Polis menahan tiga lelaki dan dua wanita disyaki menipu rakyat Hong Kong menerima tawaran kerja yang “terlalu tidak realistik” di luar negara, kata Ho.
Seramai 22 mangsa dipercayai masih dikurung di Kemboja dan Myanmar, dan sembilan daripadanya masih belum menghubungi keluarga mereka atau polis Hong Kong.
Ho berkata mangsa diberikan tiket penerbangan dan kebanyakan daripada mereka diambil passport ketika mendarat, sebelum dihantar ke pusat penipuan dan dipaksa menipu orang lain.
Ahli politik parti DAP memberitahu wartawan keluarga mangsa meminta bantuan mereka kerana masih ada rakyat Hong Kong yang terperangkap dalam sistem pemerdagangan manusia di Kayin, Myanmar sejak lebih sebulan lalu.
“Keluara mangsa syak dia didera secara fizikal. Dia dikatakan dipaksa bekerja lebih 10 jam sehari, dan jika kerja tidak betul, dia tidak diberikan makanan secukupnya,” kata ahli politik Woo Cheuk-him. – AFP, 21 Ogos, 2022.
Komen