SEKURANG-KURANGNYA 34 orang terbunuh dan berpuluh-puluh lagi cedera dalam dua kemalangan jalan raya berasingan pada Sabtu, lapor media tempatan.
Nahas pertama membabitkan bas dan ambulans mengorbankan 15 orang dan mencederakan 31 lagi di lebuh raya di wilayah Gaziantep, kata pegawai tempatan.
Agensi berita DHA berkata sebuah bas penumpang telah merempuh sebuah ambulans, sebuah trak pemadam kebakaran dan sebuah kenderaan yang membawa wartawan di lokasi nahas sebelum ini.
Tiga anggota paramedik, tiga anggota bomba dan dua wartawan dari agensi berita Ilhas Turkiye antara yang maut, lapor media tempatan.
Gambar oleh DHA menunjukkan bahagian belakang ambulans tercabut dan kerosakan pada bas.
Gendarm kini sedang menyoal pemandu bas itu untuk memastikan apa yang berlaku, lapor DHA.
Dalam pada itu, pendakwa raya turut menyiasat kemalangan maut kedua berlaku 250 kilometer dari lokasi kemalangan pertama.
Sekurang-kurangnya 19 orang terbunuh dan hampir 30 cedera selepas seorang pemandu trak merempuh pejalan kaki di Derik di wilayah Mardin, kata Menteri Kesihatan Fahrettin Koca di Twitter.
Kemalangan di Derik di wilayah Mardin “berlaku selepas lori berhenti rehat, yang merempuh orang ramai”, tulis Koca. 26 lagi cedera, enam daripadanya parah, tambahnya.
Media Turkiye berkongsi rakaman seorang pemandu hilang kawalan ke atas traknya, kemudian merempuh kenderaan berhampiran dan pejalan kaki ketika mereka cuba melarikan diri.
Agensi akhbar rasmi Turkiye Anadolu melaporkan kemalangan yang melibatkan tiga kenderaan telah berlaku di tapak yang sama tidak lama sebelum itu. Anggota kecemasan sudah berada di tempat kejadian apabila lori itu merempuh orang ramai. – AFP, 21 Ogos, 2022.
Komen