Balik Pulau bakal jadi medan rebut undi Melayu, kata pemimpin PKR


Diyana Ibrahim

Bekas Ahli Parlimen Balik Pulau Yusmadi Yusoff berkata beliau yakin pertandingan pelbagai penjuru pada PRU15 akan menguntungkan PKR di Balik Pulau. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Ogos, 2022.

KERUSI Balik Pulau dijangka menyaksikan persaingan sengit dalam pilihan raya umum akan datang untuk menguasai undi di kubu terakhir pengundi Melayu di pulau mutiara itu.

Bekas ahli Parlimen kawasan itu Yusmadi Yusoff memberitahu The Malaysian Insight, jangkaan itu berdasarkan faktor bahawa undi Melayu akan menjadi penentu dalam PRU15.

“Dalam konteks ini kita lihat ada kesungguhan semua pihak kerana Balik Pulau ada asas moral untuk politik Melayu. Maka kita akan nampak perkembangan ini akan beri satu keghairahan dalam politik.

“Terutama kepada  parti atau gabungan politik untuk membuktikan sesuatu, seperti contoh parti politik Umno mereka nak buktikan bahawa mereka adalah parti Melayu kepada kaum Melayu di situ.

“Dan Pejuang pula kononnya mereka kata merekalah pejuang tanah air, jadi ada keghairahan politik di situ yang menyebabkan kerusi Balik Pulau menjadi lebih menarik(perebutan kerusi),” katanya.

Daftar pengundi dalam PRU14 menunjukkan pengundi Melayu Balik Pulau membentuk 65% daripada lebih lebih 59,000 pemilih kawasan itu.

Kerusi Parlimen tersebut dimenangi Yusmadi dalam PRU12 dengan majoriti 708 undi sahaja dan tiga kerusi negeri – Bayan lepas, Pulau Betong dan Teluk Bahang – gagal dimenangi PKR.

Kerusi tersebut ketika ini disandang Muhammad Bakhtiar Wan Chik yang merampas semula kerusi itu dalam PRU14 dengan majoriti 6,464 undi mengalahkan calon Barisan Nasional.

Pada masa sama, tiga kerusi DUN berkenaan berjaya dimenangi buat pertama kali – yang disifatkan pemerhati politik sebagai gelombang penolakan kaum Melayu terhadap pemerintahan BN.

Namun kerusi majoriti PH berisiko kehilangan kerusi majoriti Melayu seperti itu sekiranya gagal mendapatkan semula keyakinan pengundi Melayu yang memilih parti itu pada 2018,

PH akan menang tipis

Mengulas lanjut, Yusmadi percaya PKR akan dapat mengekalkan kemenangan dengan majoriti kecil biarpun berlaku pertembungan pelbagai penjuru yang menyebabkan perpecahan undi Melayu.

Yusmadi antara lain memberi alasan, tidak semua pengundi akan menyokong Umno kerana pemilih tersebut lebih berani membuat keputusan dan agak terhadapan berbanding kerusi Melayu lain.

Sebagai contoh, pengundi desa di Balik Pulau yang majoriti orang Melayu berani memilih Parti Rakyat Malaysia (PRM) sejak berlaku krisis politik tanah air pada 1969, tambahnya.

“Tapi dari segi sejarahnya, sebenarnya pengundi tidak terikut dengan trend pusat kecuali semasa PRU14. Sebagai contoh ketika berlaku reformasi pada 1999, banyak tempat mendukung reformasi.

“Tapi Balik Pulau tak menunjukkan sikap begitu dan Umno masih kuat, sama juga semasa saya bertanding pada 2008.

“Hanya kerusi Parlimen sahaja menang tapi kerusi DUN semua kalah walau ketika itu orang kata gelombang tsunami politik,” katanya.

Selain Melayu, pemilih di kerusi Balik Pulau turut terdiri dari pengundi Cina seramai 30% selain 5% pengundi India.

Kebanyakan pengundi menghuni kawasan yang hampir membahagi dua wilayah pulau, menganjur di sebelah barat dari Teluk Kumbar dan Pulau Betong di selatan hingga ke Teluk Bahang di utara.

Kebanyakan pengundi Melayu di situ bekerja makan gaji selain terlibat dalam sektor pelancongan dan perikanan.

Meneruskan hujahnya, Yusmadi berkata beliau juga yakin pertandingan pelbagai penjuru akhirnya akan menguntungkan PKR di Balik Pulau.

Jelasnya, hanya undi Melayu yang akan berpecah namun PKR tetap menguasai sokongan yang bulat dari kaum bukan Melayu berbanding parti lain.

Isu tempatan, calon tempatan jadi perhatian

Bagaimanapun beliau berkata PKR juga berdepan cabaran dengan beberapa isu tempatan yang mungkin boleh mempengaruhi corak pengundi Balik Pulau.

Antara isu panas dijangka memberi implikasi kepada PH ialah isu projek tambakan tiga pulau dan cadangan mewujudkan asrama moden pekerja asing di DUN Bayan Lepas yang dibantah penduduk.

Selain itu isu kerancakan pembangunan terutama di kawasan desa Balik Pulau juga hangat diperkatakan kerana ia dibimbangi akan menjejaskan demografi penduduk Balik Pulau.

“Kerana rata-rata projek pembangunan ini dibeli bukan Melayu yang lebih mampu berbanding projek perumahan kos rendah.

“Perkara ini berlaku agak lama cuma dari data itu kita tak ada yang tepat sejauh mana pengundi itu berpindah ke Balik Pulau dan menyumbang pertambahan pengundi bukan Melayu,” katanya.

Pada masa sama, calon juga perlu dipilih dari kalangan anak tempatan untuk memenangi hati pengundi Balik Pulau, kata Yusmadi lagi.

Sementara itu, seorang penggerak parti pula berkata pertandingan pelbagai penjuru di kerusi hampir pasti akan berlaku di kawasan Parlimen Balik Pulau.

Kakitangan parti yang tidak mahu namanya didedahkan itu berkata, beberapa parti seperti Pejuang dan Warisan sudah menunjukkan minat mengintai kerusi tersebut.

Oleh itu, beliau tidak menolak PKR akan berdepan dengan laluan sukar untuk mempertahankan kerusi atas faktor perpecahan undi Melayu.

“Undi Melayu akan berpecah. Dari kaji selidik kita undi Melayu (kepada) PH akan berpecah dan akan pergi kepada PN. Tetapi undi pengundi Amanah dan bukan Melayu masih utuh,” katanya.

Bagaimanapun kakitangan itu berkata masih terlalu awal untuk merumuskan PH akan kalah di kerusi tersebut atas faktor berlakunya pertambahan pengundi baharu.

“Di kawasan Balik Pulau akan berlaku pertambahan sebanyak 17,000 pengundi baharu. Yang ini kita masih belum dapat teka apa sentimen mereka.

“Selain itu sejarah pengundi Melayu Balik Pulau biarpun ada kalangan mereka dalam kategori ultra Melayu.

“Namun jika ada pemimpin itu yang bobrok (seperti) contoh masa PRU14 mereka tidak takut untuk mengubah undi. Kerana pengundi ultra Melayu ini juga mengundi PH masa PRU14.

Pada masa sama beliau mengakui hasil dapatan diperolehi pasukannya memperlihatkan sokongan undi Melayu terhadap PH menurun sebanyak 20%. dan kaum Cina jatuh 2 %.

Beliau berkata ia merupakan kajian semasa Muhyiddin Yassin menjadi perdana menteri namun sentimen itu juga berubah kini.

“Perkembangan terkini yang kita dapat ada perubahan sentimen di bawah pentadbiran Ismail Sabri Yaakob kritikan rakyat semakin memuncak.

“Kita nampak ada sedikit arus berbeza kerana isu kenaikan harga barang dan terbaharu isu Kapal Tempur Pesisir (LCS),” katanya. – 21 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen