Warisan sasar 6 Parlimen,10 Dun Pulau Pinang


Khoo Gek San

Menurut Ooi PH akan kembali berkuasa di Pulau Pinang namun dengan sokongan yang berkurangan. – Gambar Warisan, 21 Ogos, 2022.

PARTI Warisan Sabah (Warisan) mensasarkan enam kerusi Parlimen dan 10 kerusi DUN dalam percubaan pertamanya menembusi Pulau Pinang yang diperintah Pakatan Harapa (PH) pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Koordinator Warisan Pulau Pinang, Jeff Ooi berkata partinya optimis akan memenangi beberapa kerusi kerana tiga parti gabungan itu sedang mengalami kemelut terutama PKR.

Menurut bekas Ahli Parlimen DAP-Bukit Jelutong itu, kerajaan PH di Pulau Pinang kelihatan tenang di luar namun sebenarnya sedang berlaku ketegangan dalam kalangan pemimpin.

Mengambil contoh DAP, beliau mendakwa parti yang menguasai kerusi terbanyak di DUN Pulau Pinang itu sedang mengintai kerusi Kebun Bunga yang disandang PKR.

“DAP mahu bertanding di kerusi itu pada PRU akan datang supaya kesemua empat DUN  di bawah Parlimen Bukit Bendera - Tanjong Bunga, Pulau Tikus, Air Putih dan Kebun Bunga – semuanya di bawah kawalan mereka,” katanya.

Ooi berkata berdasarkan pemerhatiannya, PH akan kembali berkuasa namun dengan sokongan yang berkurangan.

Menurutnya lagi berdasarkan pemerhatiannya juga 10 daripada 37 kerusi DUN yang dimenangi PH pada PRU 2018 adalah goyah dengan majoritinya dimiliki PKR.

“DAP sepertinya yakin akan dapat tambah kerusi pada pilihan raya akan datang tapi saya tak nampak sebarang peningkatan sokongan yang signifikan terhadap gabungan mereka,” katanya.

Kerusi yang dikuasai PH di Pulau Pinang berkurang kepada 33 daripada 40 kerusi selepas Bersatu meninggalkan gabungan itu susulan Langkah Sheraton yang menumbangkan kerajaan PH di Putrajaya.

DAP yang menguasai Pulau Pinang kini memiliki 19 kerusi, PKR 12 kerusi dan Amanah 2 kerusi.

“Ancaman terbesar PH Pulau Pinang akan datang dari Warisan dan harapan terbesar Warisan adalah pada kerusi yang dimiliki PKR,” kata Ooi.

Katanya populariti PKR semakin merosot sejak PRU 2018 dan satu-satunya kerusi yang boleh dikatakan kuat adalah Machang Bubuk.

Tambahnya lagi, Umno dari BN tidak akan memberi ancaman kepada PH kerana mereka dilihat lebih berhabis untuk enam kerusi Parlimen namun yang dimenangi hanya dua kerusi pada 2018 iaitu Tasek Gelugor dan Kepala Batas.

Tiga kerusi DUN di bawah Parlimen Tasek Gelugor - Berangan, Sungai Dua dan Telok Ayer Tawar.

Tiga lagi kerusi di bawah Parlimen Kepala Batas - Penaga, Bertam dan Pinang Tunggal.

Penaga kini disandang oleh Adun PAS.

Pada 2018, Umno berdepan nasib yang buruk di Pulau Pinang susulan perpecahan undi Melayu.

BN, PAS dan Amanah bertembung antara sama lain demi mendapatkan undi Melayu.

Kata Ooi PAS juga tidak dilihat sebagai ancaman kepada PH kerana kekuatannya hanya di Seberang Perai.

Menurutnya sukar buat PAS mempertahankan kerusinya untuk PRU akan datang namun parti Islam itu boleh membuat perjanjian dengan Umno yang akan membantu parti Melayu tertua itu. – 21 Ogos, 2022.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen