PULUHAN ibu bapa dan pelajar cedera selepas bersesak-sesak ketika proses pengagihan bantuan awal persekolahan di selatan Filipina, kata pihak berkuasa, hari ini.
Orang ramai mula berkumpul di luar pusat pengagihan di seluruh negara sejak semalam selepas kerajaan mengumumkan bantuan kewangan sehingga 4,000 peso (RM320) untuk mereka yang bergelut bagi menampung perbelanjaan pendidikan.
Di bandar Zamboanga, kira-kira 5,000 orang berdiri di luar pusat pengagihan bantuan di sebuah sekolah menengah.
“Ketika mereka mendengar pintu pagar hendak dibuka, mereka meluru ke hadapan,” kata pegawai polis Josen Samsula kepada AFP.
“Jalan masuk bercerun ke bawah jadi apa yang berlaku mereka tersadung dan jatuh ke tanah.”
Seramai 29 orang sedang dirawat di hospital selepas mengalami “cedera ringan”, kata Setiausaha Kebajikan Masyarakat Erwin Tulfo, yang mengumumkan pembayaran tunai dalam beberapa hari kebelakangan ini.
Tulfo memberitahu pemberita beliau terpaksa memanggil polis anti rusuhan untuk menghalang orang ramai memasuki pintu pagar hadapan perkarangan pejabatnya di Manila pada ketika mereka meminta bantuan wang tunai, hari ini.
Beliau menyifatkan mereka sebagai “orang dalam krisis” dan memohon “maaf” berhubung program pengagihan bantuan itu sehingga membawa kepada kecederaan.
Pandemik Covid-19 memburukkan lagi kesengsaraan kewangan bagi berjuta-juta keluarga di Filipina, yang kini bergelut untuk mendapatkan bantuan bagi menghantar anak-anak mereka ke sekolah.
Kebanyakan sekolah sudah bersiap sedia untuk menjalankan pembelajaran secara bersemuka buat kali pertama Isnin ini sejak Mac 2020. – AFP, 20 Ogos, 2022.
Komen