SERANGAN terhadap lima hakim Mahkamah Persekutuan yang mendengar rayuan terakhir bekas perdana menteri Najib Razak berhubung kes SRC International mesti dihentikan serta-merta, kata Menteri Belia dan Sukan Ahmad Faizal Azumu hari ini.
Najib sedang membuat rayuan terhadap sabitan pada 28 Julai 2020 yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas tuduhan pecah amanah, pengubahan wang haram, salah guna kuasa dalam menggelapkan dana SRC International.
Beliau dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.
Ahmad Faizal dalam satu kenyataan yang dimuat naik di akaun Facebooknya, berkata serangan itu bukan sahaja tidak beretika, malah ia sengaja dilakukan bagi mengganggu kebebasan badan kehakiman.
Beliau berkata, serangan peribadi terhadap hakim dan ahli keluarga mereka turut dibimbangi mewujudkan keadaan tidak tenteram termasuk mengancam kedaulatan undang-undang.
“Badan kehakiman perlu berfungsi sebagai benteng terakhir dalam menegakkan keadilan,” tambah ahli Parlimen Tambun itu.
Beliau berkata, setiap rakyat Malaysia mempunyai tanggungjawab untuk memastikan maruah institusi kehakiman dipelihara dengan rapi.
“Serangan secara terbuka di media sosial juga mengundang persepsi negatif selain memalukan nama baik negara,” kata Faizal sambil merayu agar badan kehakiman diberi ruang dan masa bagi memastikan keadilan serta kebenaran dapat ditegakkan.
Ancaman terhadap Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat dikesan di platform media sosial selepas panel lima hakim menolak permohonan peguam Najib untuk mengemukakan bukti baharu dalam rayuan terakhirnya.
Mahkamah juga menolak permohonan penangguhan perbicaraan.
Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani mengarahkan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) menyiasat sebarang unsur ugutan terhadap Maimun. – 20 Ogos, 2022.
Komen