Hotel di Somalia diserang, beberapa orang awam maut


Anggota keselamatan berkawal di sekitar kawasan letupan. – Gambar AFP, 20 Ogos, 2022.

BEBERAPA orang awam maut dalam satu serangan yang menyasarkan sebuah hotel di Mogadishu, Somalia, lapor Sputnik.

Media tempatan melaporkan berlaku pertempuran antara pasukan keselamatan dan anggota kumpulan al-Shabaab pada Jumaat malam di sebuah hotel yang popular dalam kalangan ahli politik dan pegawai kerajaan.

Sekurang-kurangnya dua letupan kedengaran di sekitar kawasan hotel.

Pada Sabtu media Al Arabiya melaporkan sekurang-kurangnya lapan orang awam terbunuh dan laporan The Washington Post pula mengatakan 10 maut manakala beberapa yang lain cedera.

Kumpulan al-Shabaab yang bergabung dengan al-Qaeda menentang kerajaan pusat Somalia dan telah melancarkan serangan bersenjata serta menguasai beberapa kawasan utama di selatan dan tengah negara ini.

Pada Mei, Amerika Syarikat memutuskan untuk menyerang kedudukan kumpulan itu susulan  ancaman yang semakin meningkat oleh al-Shabaab terhadap sekutunya.

Pada  Rabu, pasukan gabungan Afrika-Amerika dikenali AFRICOM mengumumkan 13 anggota al-Shabaab maut dalam serangan udara di dekat Teedaan, Somalia pada 14 Ogos. – Bernama, 20 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen