SEORANG bekas peguam negara Mexico yang sebelum ini mengetuai siasatan kehilangan 43 pelajar kolej perguruan pada 2014 ditahan pihak berkuasa semalam.
Jesus Murillo Karam pegawai tertinggi yang ditahan setakat ini berkait kes yang menggemparkan Mexico serta mendapat kecaman antarabangsa itu.
Menurut Pejabat Peguam Negara, Murillo Karam didakwa atas tuduhan terbabit dalam kehilangan paksa, penderaan dan memesongkan keadilan.
Pelajar tersebut menaiki lima bas untuk menghadiri protes di Mexico City sebelum hilang pada 2014.
Penyiasat berkata ketika dalam perjalanan bas itu diarah berhenti oleh polis korup di bandar Iguala, Guerrero dan kumpulan pelajar itu diserahkan kepada kartel dadah.
Menurut laporan rasmi yang dikeluarkan pada 2015, kartel itu tersalah anggap 43 pelajar terbabit sebagai anggota kumpulan musuh lalu membunuh mereka. Mayat kesemua pelajar dibakar di tempat pembuangan sampah dan dibuang ke dalam sungai.
Laporan itu bagaimanapun ditolak pakar bebas dan Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu serta keluarga mangsa.
Khamis lalu, suruhanjaya bebas yang menyiasat kes tersebut menyimpulkan kehilangan pelajar berkenaan melibatkan pelbagai institusi.
Siasatan suruhanjaya itu mendapati anggota tentera bertanggungjawab atas kejadian itu, sama ada secara langsung atau disebabkan kecuaian mereka.
“Tindakan, kecuaian atau pembabitan mereka menyebabkan kehilangan dan kematian pelajar terbabit serta enam yang lain,” kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Alejandro Encinas yang mengetuai suruhanjaya itu.
Siasatan lanjut perlu dijalankan bagi menentukan sejauh mana penglibatan anggota tentera dalam kes ini, tambahnya.
Presiden Andres Manuel Lopez Obrador semalam berkata mana-mana anggota tentera dan pegawai yang terlibat akan dihukum. – AFP, 20 Ogos, 2022.
Komen