Jangkitan Covid-19 di Itali kembali meningkat


Itali negara Eropah pertama yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19. – Gambar EPA, 19 Ogos, 2022.

KADAR jangkitan Covid-19 di Itali kembali meningkat, iaitu peningkatan sebanyak 14.4 peratus sepanjang minggu lepas.

Itali, negara Eropah pertama yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19, menyaksikan peningkatan jumlah kes dari pertengahan Jun hingga pertengahan Julai dan menurun untuk tempoh beberapa hari terakhir, lapor Xinhua.

Data terkini daripada Kementerian Kesihatan Itali menunjukkan lebih 27,000 kes jangkitan dilaporkan pada Khamis, turun berbanding 36,000 kes pada Rabu, tetapi meningkat tiga kali ganda berbanding 10,000 jangkitan pada hari-hari sebelum itu.

Angka kematian harian juga meningkat, iaitu sebanyak 147 korban pada Khamis, meningkat daripada 128 sehari sebelumnya, 70 pada Selasa dan 42 pada Isnin.

Kadar vaksinasi di Itali kekal antara yang paling tinggi di Kesatuan Eropah. 

Sehingga Khamis, 94.1 peratus penduduk negara itu yang berumur 12 tahun ke atas sama ada menerima vaksin sepenuhnya atau telah pulih daripada jangkitan dalam tempoh enam bulan sebelum itu, memberi mereka imuniti semula jadi. – Bernama, 19 Ogos, 2022.              


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen