Suruhanjaya siasatan salahkan tentera Mexico kes kehilangan 43 pelajar


Orang ramai menyertai protes kehilangan 43 pelajar Ayotzinapa, di Mexico City, Mexico, 26 Jun 2022. Mereka menuntut keadilan, 8 tahun selepas kehilangan pelajar di Iguala, negeri Guerrero itu. – Gambar EPA, 19 Ogos, 2022.

SURUHANJAYA yang menyiasat tragedi hak asasi manusia paling buruk di Mexico berkata pada Khamis yang anggota tentera bertanggungjawab, sama ada secara langsung atau kerana kecuaian berhubung kehilangan 43 pelajar pada 2014.

“Tindakan, kelalaian atau pembabitan mereka menyebabkan kehilangan dan kematian pelajar, serta pembunuhan enam individu lain,” kata ketua suruhanjaya itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri Alejandro Encinas.

Pelajar merampas bas di negeri selatan Guerrero untuk pergi ke demonstrasi sebelum mereka hilang.

Menurut laporan rasmi yang dibentangkan pada 2015 oleh kerajaan presiden ketika itu Enrique Pena Nieto, mereka ditangkap oleh polis korup dan diserahkan kepada kartel dadah.

Kartel itu menganggap pelajar berkenaan sebagai ahli kumpulan saingan dan membunuh kesemuanya sebelum membakar dan membuang mayat mereka, menurut laporan itu, yang tidak mengaitkannya dengan tentera.

Kesimpulan tersebut ditolak oleh waris pelajar serta pakar bebas dan pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Encinas berkata siasatan lanjut diperlukan untuk menentukan sejauh mana penglibatan anggota tentera dan tentera laut.

“Tindakan yang bersifat institusi tidak dapat dibuktikan, tetapi terdapat tanggungjawab yang jelas kepada anggota angkatan tentera yang ditempatkan di kawasan itu pada masa itu,” katanya.

Presiden Andres Manuel Lopez Obrador berkata pada Mac yang anggota tentera laut sedang disiasat kerana didakwa mengganggu bukti, terutamanya di tempat pembuangan sampah di mana mayat manusia ditemui, termasuk tiga pelajar yang sudah dikenal pasti setakat ini.

Beliau menafikan tuduhan pakar bebas yang pihak berkuasa Mexico menyimpan maklumat penting mengenai kes itu, yang mengejutkan negara dan mendapat kecaman antarabangsa. – AFP, 19 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen