Lebih 65% ahli konservatif dijangka pilih Truss sebagai PM UK baharu


Setiausaha Luar Liz Truss, seorang daripada dua calon terakhir bersaing merebut jawatan perdana menteri UK hasil pemilihan pusingan kelima pada akhir Julai. – Gambar EPA, 19 Ogos, 2022.

LEBIH 65% ahli Parti Konservatif United Kingdom (UK) dijangka mengundi Setiausaha Luar Liz Truss untuk menjadi perdana menteri dan pemimpin parti itu, lapor Sputnik, memetik hasil tinjauan bersama oleh YouGov dan Sky News yang diterbitkan pada Khamis.

Sejumlah 66% ahli Tory bersedia untuk mengundi Truss, manakala bekas canselor perbendaharaan UK Rishi Sunak hanya mendapat 34% sokongan, menurut tinjauan itu. 

Sementara itu, kira-kira 13% ahli belum memutuskan siapa calon pilihan mereka.

Tinjauan mendapati bekas perdana menteri UK Boris Johnson masih popular dalam kalangan ahli Parti Konservatif.

Sebanyak 55% percaya peletakan jawatan Johnson adalah satu kesilapan, manakala 40% yakin ia adalah tindakan yang sewajarnya dilakukan. 

Sehingga Rabu, 57% responden berkata mereka sudah mengundi, manakala 38% memaklumkan mereka masih belum membuat keputusan. 

Dalam kalangan ahli parti yang sudah mengundi, 68% berkata mereka memilih Truss dan 31% memilih Sunak.

Pengganti Johnson akan diumumkan pada 5 September. 

Bekas canselor perbendaharaan Rishi Sunak dan Setiausaha Luar Liz Truss adalah dua calon terakhir bersaing merebut jawatan perdana menteri hasil pemilihan pusingan kelima pada akhir Julai. – Bernama, 19 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen