Buku Jalanan Chow Kit sasar bantu lebih ramai kanak-kanak memerlukan


Elill Easwaran

Pengasas BJCK, Siti Rahayu Baharin berkata masih ramai kanak-kanak terutama daripada kalangan gelandangan dan mereka yang tiada kerakyatan tidak mendapat sebarang bentuk pendidikan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 19 Ogos, 2022.

SATU kumpulan sukarelawan yang menyediakan pendidikan percuma kini menyasarkan untuk meluaskan jangkauannya untuk membantu lebih ramai kanak-kanak di kawasan Chow Kit.

Pengasas Buku Jalanan Chow Kit (BJCK), Siti Rahayu Baharin berkata masih ramai kanak-kanak terutama daripada kalangan gelandangan dan mereka yang tiada kerakyatan tidak mendapat sebarang bentuk pendidikan.

Siti Rahayu berkata BJCK kini menempatkan kira-kira 125 kanak-kanak, dan dengan penambahan menjelang akhir tahun, ia menyasarkan untuk membantu lebih ramai kanak-kanak mendapat akses kepada pendidikan.

“Daripada 125 kanak-kanak itu, 45 tiada kerakyatan. Ini adalah satu-satunya tempat untuk mereka ke sekolah.

“Kita berada pada zaman di mana pelarian pun diterima masuk ke kolej tetapi bukan kanak-kanak tanpa kerakyatan, kerana mereka tidak mempunyai dokumen sah,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Menjelaskan permulaan BJCK, Siti Rahayu berkata ia bermula sebagai perpustakaan awam pada 2015 bagi memenuhi keperluan kanak-kanak daripada keluarga miskin di kawasan Chow Kit.

“Kami mendapati di Chow Kit, terdapat banyak dapur amal di mana kami melihat ibu bapa beratur bersama anak-anak mereka.

“Kami memutuskan untuk memberikan kanak-kanak ini buku untuk dibaca sementara menunggu makanan, dan akhirnya kami menjadi lebih besar,” katanya.

Ketika ditanya sama ada perkhidmatan mereka terjejas semasa sekatan Covid-19, Siti Rahayu berkata kumpulan itu sebenarnya bernasib baik daripada yang mereka jangkakan.

“Kami terpaksa menukar kelas kepada pembelajaran dalam talian dan kami sedari kebanyakan pelajar kami tidak mempunyai gajet yang diperlukan.

“Kami menghubungi orang ramai untuk mendapatkan bantuan dan berjaya mendapatkan setiap kanak-kanak sama ada tablet atau komputer riba,” katanya.

Beberapa guru Buku Jalanan Chow Kit yang berada di pusatnya di Kuala Lumpur. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 19 Ogos, 2022.

Program kumpul dana

Sementara itu, pengurus pembangunan perniagaan BJCK Luqman Hafiz, 27, berkata kumpulan itu menyediakan beberapa projek baharu untuk mengumpul dana bagi meneruskan perkhidmatan mereka.

“Satu daripada program yang sedang kami lakukan ialah Jelajah Chow Kit, yang kami kenakan sedikit bayaran dengan membawa peserta meneroka dan mempelajari sejarah Chow Kit.

“Kami juga mengadakan tayangan filem di atas bumbung bangunan yang disewa kami di sini untuk mengumpul dana,” katanya.

Menurut Luqman, projek besar BJCK seterusnya ialah membuka kedai kopi di tingkat bawah bangunan yang sama.

“Kami berharap kedai kopi itu akan sedia beroperasi menjelang akhir tahun. Ini juga akan memberi peluang pekerjaan kepada ibu bapa pelajar kami dan juga kepada pelajar yang berumur 18 tahun ke atas.

“Kami mahu kedai kopi ini mampu bertahan sendiri dan membantu memastikan sekolah terus beroperasi,” katanya.

Afiq Rodzi, 26, yang merupakan pengurus bangunan untuk BJCK, berkata pengubahsuaian juga sedang dijalankan di bangunan empat tingkat itu untuk menempatkan sehingga 200 kanak-kanak.

“Kerja-kerja pengubahsuaian kami adalah secara berperingkat kerana masalah pembiayaan. Jadi, ia akan mengambil sedikit masa sebelum ia siap.

“Pada masa ini, kami sedang berusaha untuk mendapatkan dana dan geran kerana aliran tunai kami pada masa ini tidak begitu bagus susulan kerja-kerja pengubahsuaian yang sedang dijalankan.

“Kami bercadang untuk memastikan pengubahsuaian bangunan empat tingkat selesai menjelang akhir tahun ini,” katanya.

Tambahnya, kumpulan itu mengambil risiko besar tahun lalu dengan menyewa keseluruhan bangunan berbanding hanya satu tingkat yang mereka duduki.

“Tetapi kami bersedia untuk menghadapi cabaran dan berharap akan ada sesuatu yang baik daripada ini.”

Pengurus perkembangan kanak-kanak BJCK Hanif Mahpa berkata mereka turut membantu pelajar ke sekolah kerajaan jika mereka mempunyai dokumen. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 19 Ogos, 2022.

Pembelajaran berasaskan projek

Pengurus perkembangan kanak-kanak BJCK Hanif Mahpa, 30, berkata mata pelajaran yang diajar di pusat itu ialah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, matematik, sains, geografi dan sejarah.

“Tetapi kami melakukan lebih banyak pembelajaran berasaskan projek bagi merangkumi isu-isu yang melibatkan komuniti mereka. 

“Kami mahu kanak-kanak ini memahami situasi mereka dan memastikan mereka dapat mengatasinya,” katanya.

Beliau menambah kumpulan itu juga membawa anak-anak untuk lawatan lapangan. Sebagai contoh, pelajar baru sahaja pulang dari aktiviti perkhemahan.

Hanif menambah BJCK juga membantu pelajar menerima pendidikan di sekolah kerajaan jika mereka mempunyai dokumentasi yang betul.

“Jika kami diberitahu kanak-kanak itu tidak layak ke sekolah kerajaan, barulah kami akan mendaftarkannya di BJCK.”

Menurut UNHCR, terdapat sekurang-kurangnya 10,000 orang di Semenanjung Malaysia yang dinafikan kewarganegaraan – yang turut dilabel sebagai tidak bernegara, dengan bilangan tidak diketahui di Sabah dan Sarawak.

Mereka yang berminat untuk menjadi sukarelawan atau membantu BJCK boleh menghubungi mereka. – 19 Ogos, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen