Pengguna sosial media kecam video kutuk Pulau Pinang


Looi Sue-Chern

Akaun Facebook Friends of BN - Barisan Nasional memuat naik satu video berdurasi tiga minit dalam bahasa Mandarin menampilkan seorang wanita bercerita tentang rungutannya selepas Pulau Pinang diambil alih oleh pembangkang. – Gambar Facebook, 25 Februari, 2018.

SATU video menampilkan seorang wanita menyuarakan “kekecewaan” kehidupannya di Pulau Pinang sejak 10 tahun lalu selepas pembangkang mengambil alih negeri itu, gagal menarik perhatian pengguna media sosial.

Walaupun ia dirakamkan dengan baik, mesejnya tidak mampu menarik pengundi Pakatan Harapan (PH) dan terus mengkritik Barisan Nasional (BN), berdasarkan kepada reaksi di Facebook.

“Video ini dibayar,” kata Al Akee sementara SK Tan menulis: “Video sampah”.

Goh Yen Yee menyifatkan video itu sebagai “iklan” untuk mencuci otak warga Pulau Pinang tetapi mereka tidak akan terpedaya dengannya.

“Cukuplah BN,” seorang lagi pengguna Facebook, Fany menulis di ruangan komen di mana video itu sudah ditonton 321,000 kali dan dikongsi oleh hampir 1,000 orang di akaun Friends of BN - Barisan Nasional.

Fariq Mustafa, yang berkongsi pos oleh Friends of BN - Barisan Nasional itu berkata: “Hahahaha terlalu terdesak!” sementara Zain Zaha berkata: “Cubaan yang baik BN.”

“Kasihan bila BN terpaksa merayu di Pulau Pinang,” komen Muhadir Hassan.

Video berdurasi tiga minit dalam bahasa Mandarin itu menampilkan seorang wanita berusia lewat 20-an yang bertanya: “Pulau Pinang, mahukah kamu dengar kisah saya?” sebelum merungut tentang hidupnya di bawah pentadbiran kerajaan negeri sekarang.

Wanita yang tidak dinamakan dalam video itu bercakap tentang beliau percaya yang beliau “membuat perubahan” pada pilihan raya umum (PRU) lalu. Video itu turut menampilkan sedutan perhimpunan Bersih yang mendesak pilihan raya bersih dan adil.

Wanita itu kemudian mempersoalkan adakah ia “berbaloi” selepas “kita menang” selama 10 tahun.

Wanita itu merungut tentang kos sara hidup yang tinggi di Pulau Pinang yang mungkin setara dengan di Kuala Lumpur, menambah betapa sukar untuknya menampung kehidupan untuk ibunya, kekurangan kerja, harga rumah dan cukai pintu mahal, pembangunan tertumpu di bahagian pulau, penutupan kilang dan hilangnya keyakinan pelabur.

Wanita itu – seorang eksekutif kanan – juga berkata Pulau Pinang ada masalah dengan sampah, bukit ditarah dan banjir, memetik 20 insiden banjir yang berlaku tahun lalu saja termasuk terburuk dalam sejarah negeri itu.

Belia juga mempertikaikan keputusan kerajaan negeri untuk membina “lebuh raya terlebih mahal”, terowong dasar laut dan projek tambak laut.

Katanya, kerajaan negeri hanya pandai menyalahkan pihak lain. Wanita itu mengakhiri video itu dengan bertanya kepada penonton adakah mereka sudah mendengar ceritanya – bahawa warga Pulau Pinang bukannya lebih baik.

Video dengan sari kata bahasa Inggeris itu berakhir dengan mesej: “Buat keputusan yang betul.”

Video “gagal”

“Sudah tentu dia bukan warga Pulau Pinang,” kata Koid Melinda di Facebook, sementara seorang lagi pengguna media sosial, Alicia Sum mempersoalkan benarkah wanita itu tinggal di Pulau Pinang.

“Video itu dibuat oleh orang yang sangat profesional dan suara wanita itu seperti penyampai radio atau pengacara majlis dan skripnya wow…ditulis dengan baik.

“Tetapi malangnya ia akan menjadi satu lagi cubaan yang gagal, terlalu palsu,” tulis Sum.

Wanita dalam video yang kini viral berkata Pulau Pinang kotor dan kerajaan negeri membina “lebuh raya terlebih mahal”, terowong dasar laut dan projek tambak laut. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Februari, 2018.

Wanita di dalam video itu juga dikritik, dengan beberapa pengguna Facebook mempersendakan aduan dan rayuannya.

“Akhirnya dia ada cukup duit untuk beri kepada ibunya selepas video ini.. hahaha,” kata Chris Lam Zheng Ming.

Kenny Yeo mengulas: “Pilihan terbaik ialah undi untuk DAP. Hahahahahh.”

Tommy Koo berkata: “Video yang bagus. Dia betul. Perlu tukar kerajaan persekutuan untuk elak ini berlaku lagi. Jangan biarkan BN rosakkan masa depan anda lagi.”

Ai Er Bin, yang menulis dalam bahasa Cina berkata wanita itu sepatutnya berkunjung ke Johor Baru.

“Kalau anda raya Pulau Pinang seperti itu, maka anda patut cuba datang ke Johor dan lihat, sama ada ia lebih teruk,” katanya.

Kesilapan terbesar video itu: menipu

Pengarah Pendidikan Politik DAP Pulau Pinang Steven Sim berkata kesilapan terbesar video itu ialah menipu.

“Dalam propaganda, anda tidak boleh menipu. Anda perlu guna fakta sebenar. Tetapi video itu, semuanya pembohongan,” kata ahli Parlimen Bukit Mertajam itu kepada The Malaysian Insight.

Beliau berkata warga Pulau Pinang, termasuk kumpulan yang mengkritik kerajaan negeri Pakatan Harapan, tidak percaya video itu.

“Mereka kata kritikan dalam video itu terlalu negatif. Itu kesilapan terbesar video berkenaan,” katanya.

Sim berkata rekod kejayaan pentadbiran PH sejak pembangkang mengambil alih Pulau Pinang 2008 sudah jelas.

“Wanita itu kata Pulau Pinang kotor. Tetapi George Town baru saja dinamakan sebagai salah sebuah bandar terbersih di Asean. Kementerian Pelancongan yang maklumkan kepada Pulau Pinang bulan lalu.

“Berapa besar penipuan boleh dilakukan untuk mencipta kekeliruan,” katanya.

Sim berkata semua jenis bahan propaganda akan muncul menjelang PRU14.

Katanya, video tidak diketahui dari mana itu sudah jelas dilakukan oleh parti yang mempunyai sumber kewangan besar.

“Ia dilakukan secara profesional. Ia membelasah kerajaan Pulau Pinang. Walaupun tidak ada nama, mungkin kerana dalangnya tahu isi kandungan video itu kurang kredibiliti, video itu disusun dengan baik sehingga menjadi bahan berita.

“Pemerhatian semua itu sudah cukup untuk menyatakan siapa dalang di sebalik video itu,” katanya. – 25 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Ha ha ha sesuatu yg baik utk kerajaan p.pinang

    Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Leslie Chan · Ulasan