Kebakaran hutan Portugal terkawal buat masa ini 


Kebakaran besar di taman negara Serra da Estrela di tengah Portugal berjaya dikawal minggu lalu. – Gambar EPA, 18 Ogos, 2022.

KEBAKARAN hutan di Portugal telah “terkawal”, kata seorang pegawai kerajaan, walaupun ia masih marak selama berhari-hari, namun lebih 1,000 anggota bomba masih bergelut untuk mengawalnya pada Khamis.

Kebakaran besar di taman negara Serra da Estrela di tengah Portugal berjaya dikawal minggu lalu, namun ia kembali marak pada Isnin.

Lebih daripada 25,000 hektar (hampir 61,800 ekar) tanah musnah akibat kebakaran di taman yang tersenarai di bawah Unesco,  yang menjadi habitat kepada pelbagai spesies hidupan liar termasuk kucing liar dan biawak.

Seorang pegawai berkata pada lewat Rabu api dapat dikawal, tetapi memberi amaran ia boleh menyala semula.

“Api terkawal, tetapi ia tidak dipadamkan. Kerja-kerja pemantauan akan diteruskan dalam beberapa hari akan datang,” kata komander perlindungan awam Miguel Oliveira kepada radio TSF.

“Terdapat kemungkinan ia akan menyala semula, tetapi kami berharap ia tidak membimbangkan,” katanya.

Pihak Berkuasa Perlindungan Awam Kebangsaan Portugal berkata lebih 1,000 anggota bomba masih dikerah di sekitar kebakaran Serra da Estrela Khamis.

Ramalan cuaca meramalkan gelombang haba baharu pada Sabtu, yang mana ia merupakan rentetan daripada musim panas di Portugal tahun ini. Julai merekodkan cuaca paling panas dalam hampir satu abad.

Menteri Dalam Negeri Jose Luis Carneiro berkata Rabu “kami akan mengalami peningkatan risiko” kebakaran dalam beberapa hari akan datang disebabkan keadaan panas dan kering. – AFP, 18 Ogos, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen