Utusan khas PBB bertemu pengerusi SAC Myanmar, menteri luar


Utusan Khas Setiausaha Agung PBB ke Myanmar Noeleen Heyzer bertemu dengan Pengerusi SAC Myanmar Jeneral Kanan Min Aung Hlaing di Nay Pyi Taw, Myanmar semalam. – Gambar EPA, 18 Ogos, 2022.

UTUSAN Khas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke Myanmar Noeleen Heyzer bertemu dengan Pengerusi Majlis Pentadbiran Negara (SAC) Myanmar Jeneral Kanan Min Aung Hlaing dan Menteri Luar U Wunna Maung Lwin di ibu kota Myanmar Nay Pyi Taw semalam.

Min Aung Hlaing dan Noeleen bertukar-tukar pandangan mengenai mewujudkan kepercayaan dan kerjasama antara Myanmar dan PBB, lapor Xinhua memetik media negara Myanmar.

U Wunna Maung Lwin menjelaskan kepada utusan khas PBB itu mengenai perkembangan semasa di Myanmar dan menyeru PBB untuk mengkaji semula secara konstruktif dan pragmatik pendekatannya terhadap kerjasama dengan Myanmar, kata kementerian luar dalam satu kenyataan.

Noeleen dari Singapura, yang tiba di Nay Pyi Taw pada Selasa, membuat lawatan pertamanya ke Myanmar sejak dilantik sebagai utusan khas setiausaha agung PBB ke Myanmar pada Oktober tahun lalu. – Bernama, 18 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen