Najib rosakkan Umno ke akar umbi, kata Dr Mahathir


Ravin Palanisamy

Pengasas Gerakan Tanah Air Dr Mahathir Mohamad hari ini menyelar bekas perdana menteri Najib Razak sebagai penyebab seluruh parti Umno rosak dari atas sampai ke bawah. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 18 Ogos, 2022.

GERAKAN politik baharu Gerakan Tanah Air (GTA), yang diasaskan oleh Dr Mahathir Mohamad, menolak kemungkinan kerjasama dengan Umno kerana parti itu “rosak sampai ke akar umbi”.

Dr Mahathir berkata Umno kini rosak kerana Najib Razak berjaya merosakkan seluruh parti Melayu itu dari atas sampai ke bawah.

“Malangnya Umno rosak sampai ke akar umbi. Semua ketua bahagian masuk Umno kerana hendak dapat kontrak dan jadi wakil rakyat. Mereka dapat peruntukan wang yang cukup banyak, bukan saja ketua bahagian, ketua cawangan, ahli biasa pun dapat.

“Najib berjaya merosakkan Umno… menyeluruh, dari atas sampai ke akar umbi. Semuanya kotor belaka,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Putrajaya.

Dr Mahathir menjawab soalan sama ada GTA sedia untuk menimbang kerjasama dengan Umno sekiranya parti itu berjaya membersihkan diri daripada pemimpin yang korup.

Mengulas lanjut, bekas perdana menteri yang juga pengerusi Pejuang menyebut pengalaman partinya bertanding dalam pilihan raya negeri Johor pada Mac lepas.

Katanya, jurukempen partinya ketika berkempen ditanya oleh pengundi mengenai bayaran yang hendak mereka tawarkan sekiranya mahukan undi.

“Najib sudah berjaya rosakkan moral orang Melayu sehingga nak bagi undi pun nak jual 200 ringgit,” katanya.

Sidang media hari ini diadakan bagi mengumumkan langkah ke hadapan GTA, dua minggu selepas pengumuman penubuhannya.

Awal bulan ini Dr Mahathir mengumumkan penubuhan GTA yang akan bertanding di kawasan Melayu khususnya yang dikuasai Umno.

GTA disertai pelbagai pertubuhan masyarakat dan tokoh intelektual, serta empat parti iaitu Pejuang, Putra, Berjasa dan Iman. – 18 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen