Sepanyol berdepan krisis bekalan air akibat cuaca panas, kering berterusan


Banyak majlis perbandaran Sepanyol telah mengenakan catuan penggunaan air sejak beberapa minggu ini, termasuk menghentikan bekalan air beberapa jam pada waktu malam. – Gambar EPA, 18 Ogos, 2022.

SEPANYOL berdepan musim panas paling teruk dalam sejarah, ditambah dengan curahan hujan paling rendah telah menyebabkan negara itu berdepan krisis bekalan air.

Data yang diterbitkan oleh Kementerian Peralihan Ekologi dan Cabaran Demografi pada Rabu menunjukkan purata paras takungan air di seluruh negara telah menyusut kepada 37.9 peratus daripada kapasiti simpanannya, manakala rizab air minuman hanya pada 33.6 peratus, lapor Xinhua.

Curahan hujan terkumpul hanya sekitar 30 peratus untuk tahun ini bermakna takungan berada pada paras terendah sejak 1995 dan hampir 20 peratus di bawah purata sejak 10 tahun lalu.

Walaupun seluruh negara bergelut dengan masalah kekurangan air, keadaan lebih kritikal di selatan. Paras air di takungan sungai Guadalquivir, Guardina dan Guadalete-Barbate kini masing-masing hanya pada 23.1 peratus, 25.3 peratus dan 26.3 peratus.

Banyak majlis perbandaran telah mengenakan catuan terhadap penggunaan air dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini, termasuk menghentikan bekalan air selama beberapa jam pada waktu malam.

Langkah ini bagaimanapun dikhuatiri akan menjejaskan pengeluaran pertanian, mengurangkan hasil buah zaitun dan bijirin sebanyak 30 hingga 40 peratus tahun ini.

Walaupun hujan diramalkan di bahagian barat laut dan tengah Sepanyol dalam tempoh 48 jam akan datang, tiada hujan di bahagian selatan diramalkan pada minggu akan datang. – Bernama, 18 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen