PENGURUSAN pusat membeli belah Malakat Mall mengakui sambutan pengunjung agak kurang hangat namun kini keadaan semakin baik selepas situasi pandemik mulai reda.
Ketua pengarah operasinya Muhammad Ash Shahid berkata perniagaan semakin baik di pusat beli belah Melayu dan Islam itu apabila mereka mampu merekodkan peningkatan dalam hasil jualan.
“Tahun lepas kedai banyak tak buka, tahun ini banyak kedai dah buka dan momentum naik ada,” katanya, ketika ditemui The Malaysian Insight, di Cyberjaya, baru-baru ini.
Beliau menjangka peningkatan sebenar dapat dilihat tahun hadapan berdasarkan prestasi jualan bagi segmen gaya hidup merangkumi pakaian, produk sukan dan barangan serbaneka tahun ini.
“Tahun hadapan mungkin perjalanan yang sebenar bermula, sebelum ini di bahagian gaya hidup, kutipan hasil RM2 juta setahun.
“Tetapi tahun ini setakat Ogos kutipan jualan dah melebihi RM2 juta, itu tidak termasuk bahagian makanan dan pasar raya,” katanya.
Kesemua jenama itu diwujudkan sendiri oleh Malakat Mall sejak awal pelancarannya pada Mac 2020, yang mana kebanyakannya dihasilkan di China.
Beliau berkata pada awalnya mereka membawa lapan jenama dan kini meningkat kepada 15 jenama.
Pelancaran pada 13 Mac itu hanya beberapa hari sebelum kerajaan menguatkuasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mengehadkan aktiviti rakyat untuk mengekang pandemik Covid-19.
Ia memberi tekanan kepada pusat membeli-belah itu yang digerakkan sekitar 100 kakitangan dengan pendapatan sekitar RM1,500 sebulan.
Namun sepanjang tempoh itu, tiada satu pun daripada 50 unit premisnya ditutup atas faktor kewangan, dan mereka tidak pernah membuang pekerjanya walaupun tidak merekodkan jualan.
“Kedai bungkus (ditutup) tidak ada. Tidak ada kedai yang tidak berjaya, belum berjaya itu ada,” katanya.
Muhammad menjelaskan konsep perkongsian keuntungan diamalkan Malakat Mall menjadikan peniaga tidak dibebani bayaran bulanan dan menjadikan perniagaan mereka mampu bertahan.

Konsep itu katanya membantu peniaga di dalam Malakat Mall, yang kebanyakannya usahawan Melayu dan Bumiputera yang baru berjinak dalam perniagaan.
“Ramai tak tahu pusat beli-belah kita tak buat sewa. Setiap vendor pun tidak ada sewa, kita guna konsep perkongsian keuntungan sehingga 20%.
“Katalah hasil jualan RM100,000, peniaga hanya bayar RM20,000. (Konsep itu) terbaik di sini sebab kita rancang untuk usahawan baharu.
“(Kami) nak libatkan mereka, daripada perniagaan tanpa kedai, masuk ke sini dan ada kedai,” katanya.
Dalam sepanjang tempoh PKP, mereka tidak mengutip bayaran daripada peniaga walaupun pihak pengurusan masih perlu membayar sewa bangunan kepada pemiliknya.
“Waktu PKP kita tak boleh kutip sewa. Kalau jualan mereka hanya RM1,000 takkan kita nak kutip RM200… Dalam lapan bulan PKP kita tak kutip apa-apa.
“Malakat Mall yang uruskan pembayaran sewa dengan pemilik bangunan. Agak sukar juga masa PKP. Tidak ada siapa yang tolong, yang jaga kami sehingga hari ini Allah yang jaga.
“Banyak jenama besar tutup (waktu itu) kita pula baru mula empat hari, kemudian PKP,” katanya.
Muhammad tidak menolak pandangan sambutan diterima Malakat Mall tidak sehebat pusat membeli-belah lain, termasuk jirannya DPulze yang mempunyai kemudahan lebih baik.
“(Malakat Mall) ada sambutan tapi tak panas, ada sambutan tapi tidak ramai sangat, bukan sejuk sangat, (sambutan menggalakkan) waktu gaji.
“Kalau hujung bulan kurang sikit… Tetapi bohong kalau kata tidak ada langsung. Pusat beli-belah di luar ramai orang sikit daripada kita, mungkin sebab tempat letak kereta kita susah,” katanya.
Malakat Mall juga tidak mempunyai premis hiburan seperti pusat bowling dan panggung wayang seperti di Dpulze yang menarik pengunjung sehingga meletak kenderaan di sepanjang bahu jalan.
Tidak halang jenama bukan Muslim
Muhammad berkata walaupun pusat beli-belah itu diwujudkan untuk peniaga Melayu dan Muslim, mereka tidak menghalang jenama luar untuk membuka premis di dalam Malakat Mall.
“Niat kita kalau boleh nak barangan Muslim. Sebab kita tahu pergerakan produk, dari mula sampai ke tangan akhir.
“Bukan kita halang bukan Muslim letak produk, ada juga produk mereka di sini, namun Malakat Mall ditubuhkan untuk keluar dari kebiasaan, bukan Bumiputera menguasai kira-kira 60% produk.
“Kita kalau dapat kuasai 1% hingga 2% produk sahaja untuk orang Melayu dan Islam untuk kukuhkan ekonomi mereka,” katanya.
Malah pihak pengurusan juga katanya sentiasa mengadakan perbincangan dengan jenama besar untuk mereka membuka kedai mereka di dalam Malakat Mall.
Di pasar raya Malakat Grocer juga dapat dilihat produk makanan keluaran syarikat bukan Melayu, Bumiputera yang sering didapati di pasar raya lain.
Sekitar 20% hingga 30% produk yang dijual juga merupakan produk tempatan industri kecil dan sederhana (IKS) keluaran pengusaha Bumiputera dan Islam.
“Kita perjuangkan kempen beli barangan Muslim (BMF) tetapi ada juga produk lain selain barangan BMF di sini,” katanya.
Malakat Mall juga dilihat sebagai ikon kempen BMF yang digerakkan kumpulan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam seperti Pertubuhan Pembela Islam (Pembela).
Penubuhan Malakat Mall di tengah-tengah kempen BMF menjadikan ia sebagai salah satu bukti kejayaan kempen tersebut, yang akan digerakkan semula pada Disember.

Peniaga selesa di Malakat Mall
Walaupun kurang sambutan daripada pengunjung, peniaga di Malakat Mall yakin mereka mampu bertahan dengan perniagaan mereka.
Salah seorang pengusaha di situ, Muhammad Hadrami Mustafa berkata beliau pada asalnya seorang pelanggan yang sering berkunjung bagi mendapatkan barangan basah dan produk makanan halal.
Pemuda berasal dari Johor itu mula mendengar mengenai Malakat Mall sebelum berpindah ke Cyberjaya sewaktu pandemik kira-kira dua tahun lalu.
“Kita dengar Malakat Mall ini pemiliknya orang Islam, bila berpindah ke sini kita pergi bahagian basah, mencari halal dan berkat itu kewajipan,” katanya.
Hadrami mendapati barang makanan basah seperti daging dari jenis segar dan tiada daging import manakala harganya berpatutan.
“Mereka juga bekalkan daging tempatan yang segar dan dibekalkan kumpulan koperasi. Di sini kita lihat mereka juga buka peluang kepada usahawan penternak,” katanya.
Hadrami kini berpeluang membuka premisnya sendiri di Malakat Mall dan menawarkan perkhidmatan rawatan perubatan alternatif, seperti bekam dan urutan.
“Sambutan ada. Masyarakat yang sokong Malakat ini ada. Jualan tetap ada walaupun nampak tak ramai orang.
“Rezeki datang bukan sebab ramai, kalau ramai pengunjung tak membeli tak guna juga. Ini tak ramai tapi ada yang membeli,” katanya.
Beliau yang kini baru dua minggu berniaga melihat konsep perkongsian keuntungan sangat membantu usahawan sepertinya.
“Saya ada sedikit pengalaman sertai ekspo dan teruja nak bersama dengan Malakat Mall.
“Mereka tak ambil sewa tapi perkongsian hasil jualan, sistem itu tak bebankan usahawan nak mulakan perniagaan.
“Sistem itu lebih kepada (usaha) membantu. Sebelum ada lot kedai kami sertai program itu kami buka gerai di luar, secara percuma.
“Usahawan dijemput berniaga secara percuma. Kita ambil peluang itu,” katanya.
Setiap hujung minggu, Malakat Mall turut menganjurkan bazar terbuka untuk peniaga membuka gerai mereka di kawasan perkarangan dan berniaga secara percuma untuk tempoh dua hari tersebut.
Seorang lagi peniaga, Sanib Ahmad, yang baru tiga bulan menjalankan perniagaan jahitan di Malakat Mall melihat perniagaannya mampu bertahan sepanjang tempoh itu.
Bekas pengawal keselamatan yang memulakan perniagaannya sejurus sebelum Ramadan berkata sambutan pengunjung menggalakkan ketika hujung minggu ataupun jika terdapat acara besar.
“Hujung minggu ramai pengunjung tetapi hari biasa orang kurang mungkin sebab faktor kerja.
“Bila ada acara besar ramai juga pengunjung, tetapi nampak orang kurang mungkin sebab kurangnya promosi,” katanya yang membayar kira-kira RM50 perkongsian keuntungannya. – 19 Ogos, 2022.
Komen