LELAKI dari New Jersey yang dituduh menikam Salman Rushdie memberitahu New York Post dalam satu temu bual diterbitkan pada Rabu yang beliau terkejut penulis itu terselamat daripada serangan baru-baru ini.
“Apabila saya mendengar beliau terselamat, saya terkejut, saya rasa,” kata Hadi Matar, 24, memberitahu tabloid itu, yang mengadakan temu bual melalui video dengan suspek berada dalam tahanan.
Penyerang disyaki itu, yang mengaku tidak bersalah atas tuduhan cubaan membunuh, tidak menyatakan sama ada tindakannya itu didorong oleh fatwa 1989 dikeluarkan bekas pemimpin tertinggi Iran Ayatollah Ruhollah Khomeini, yang mengarahkan umat Islam membunuh penulis buku “The Satanic Verses” kerana menghina Islam.
“Saya menghormati Ayatollah. Saya fikir beliau seorang yang hebat. Hanya itu yang saya mampu katakan mengenainya,” kata Matar, yang menurut The New York Post dinasihatkan oleh peguamnya supaya tidak membincangkan isu itu.
Matar memberitahu akhbar itu beliau telah membaca beberapa halaman novel Rushdie.
“Saya tidak suka beliau. Saya tidak fikir beliau seorang yang sangat baik,” katanya mengenai pengarang itu. “Saya tidak suka beliau. Saya tidak suka.”
“Beliau menyerang Islam, menyerang kepercayaan mereka, sistem kepercayaan.”
Matar berkata tidak berhubung dengan Pengawal Revolusi Iran dan berkata mengetahui Rushdie akan bercakap di siri sastera Institusi Chautauqua Institution melalui Twitter awal tahun ini.
Beliau memberitahu The New York Post yang beliau menaiki bas ke Buffalo sehari sebelum serangan dan ke Institusi Chautauqua.
“Saya banyak berkeliaran. Tidak melakukan apa-apa khususnya, hanya berjalan-jalan,” katanya kepada akhbar itu. “Saya berada di luar sepanjang masa.”
Pada Jumaat lalu ketika Rushdie akan menyampaikan ucapan, seorang lelaki menyerbu pentas dan menikamnya beberapa kali di leher dan perutnya.
Rushdie dihantar ke hospital berdekatan dan menjalani pembedahan kecemasan untuk kecederaan yang mengancam nyawa.
Penulis berusia 75 tahun itu masih dalam keadaan serius tetapi sudah tidak menggunakan alat bantuan pernafasan, dan menunjukkan tanda semakin baik.
Matar memberitahu akhbar itu, beliau menonton video ucapan Rushdie di YouTube dan menyifatkan pengarang itu “tidak jujur.”
Pada Isnin, ibu Matar, Silvana Fardos kelahiran Lubnan dari Fairview, New Jersey, menyifatkan Matar sebagai “seorang introvert yang murung” dan obses terhadao Islam selepas melawat Lubnan untuk berjumpa bapanya, dalam temu bual dengan akhbar Daily Mail Britain.
Beliau dijadualkan hadir di mahkamah Jumaat. – AFP, 18 Ogos, 2022.
Komen