MCA yakin berdepan DAP dengan kembalinya sokongan pengundi Cina


Khoo Gek San

MCA yakin untuk berdepan dengan DAP dalam pilihan raya umum akan datang memandangkan pengundi Cina mula beralih kembali kepada parti itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Ogos, 2022.

MCA yakin untuk berdepan dengan DAP dalam pilihan raya umum akan datang memandangkan pengundi Cina kembali kepada parti itu, kata Setiausaha Agung MCA Chong Sin Woon.

Ini katanya, terbukti dengan empat kerusi DAP yang mereka menangi pada pilihan raya negeri Johor baru-baru ini.

“MCA kalah kepada DAP dalam pilihan raya negeri Melaka tetapi di Johor, kami menang empat kerusi menentang DAP,” kata Chong kepada The Malaysian Insight.

Walaupun parti itu telah membuat kemajuan dengan pengundi Cina, ia tidak mendapat semua kepercayaan masyarakat, tambahnya.

“Kami berharap dapat memenangi lebih banyak kerusi Cina. Jika Melaka dan Johor adalah penunjuk, kita boleh lihat undi perlahan-lahan kembali kepada kita.

“Sama ada Barisan Nasional atau MCA, kami kini mengukuhkan asas kami untuk memenangi lebih banyak undi.”

Di Johor, MCA memenangi empat daripada 15 kerusi yang ditandinginya menentang DAP di Yong Peng, Paloh, Pekan Nanas dan Bekok.

Bagaimanapun kata Chong, walaupun MCA memenangi lebih banyak kerusi di Johor, masih sukar untuk menentukan arah trend pengundian.

Tetapi BN terkejut dengan peningkatan undi pemuda di Johor, kata Chong.

Setiausaha Agung MCA Chong Sin Woon berkata pengundi Cina dilihat tidak akan mmberi sokongan kepada DAP secara mmbabi buta pada PRU15. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 18 Ogos, 2022.

“Secara tradisinya, kerusi dengan lebih ramai belia, kita akan kalah kepada pembangkang. Anehnya, kami mendapat sokongan yang baik di Johor.”

Chong berkata ini mungkin disebabkan kumpulan belia menyedari kekacauan dalam gabungan Pakatan Harapan dan sebaliknya memilih untuk mengundi BN.

“Orang muda mahukan kestabilan politik, pembangunan ekonomi dan pekerjaan,” kata Chong.

Chong juga berkata pilihan raya negeri baru-baru ini - apabila peratusan keluar mengundi BN adalah besar - tidak boleh digunakan untuk mengukur bagaimana pilihan raya umum ke-15 akan berlaku.

Beliau berkata ini kerana semasa pilihan raya negeri, kes Covid-19 masih tinggi, dan masih terdapat beberapa bentuk kawalan pergerakan.

Sebilangan besar orang juga tidak dapat pulang untuk mengundi, tambahnya.

Tambahan 7.8 juta orang akan ditambah ke dalam daftar pemilih untuk PRU15. Daripada jumlah itu, 3.8 juta adalah remaja berusia 18 tahun yang menyumbang 34% daripada populasi, katanya.

Tiada lagi sokongan buta kepada DAP

Chong berkata, melihat kepada trend semasa, pengundi Cina tidak lagi akan mengundi DAP secara membabi buta.

“DAP pernah menjadi imej kejayaan manakala MCA pula digambarkan sebagai pengikut Umno. Nasib baik bagi kami, orang ramai melihat melalui ini sekarang dan kami mempunyai pemimpin yang baik dalam Wee Ka Siong.”

MCA tewas pada PRU14, hanya memenangi satu kerusi Parlimen dan dua kerusi DUN. Pada pilihan raya negeri Johor dan Melaka, parti itu masing-masing memenangi dua dan lapan kerusi DUN, yang mana ia membanggakan, kata Chong.

Keputusan DAP untuk menghentikan pembiayaan Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (TAR UC) menimbulkan kemarahan pengundi Cina, terutamanya memandangkan ini ketika Lim Guan Eng menjadi menteri kewangan, katanya.

“PH berkuasa selama 22 bulan dan mereka menggunakan ini untuk membebankan perniagaan Cina. Ia juga gagal memenuhi janjinya mengenai Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dan memansuhkan dasar yang tidak adil.”

Perkara ini diburukkan apabila kerajaan merancang untuk memperkenalkan jawi di sekolah vernakular pada 2019.

Sebagai timbalan menteri pendidikan sebelum ini, Chong berkata sebarang keputusan berhubung pendidikan Cina biasanya dibuat selepas mendapat kelulusan parti supaya ia boleh dipertanggungjawabkan. – 18 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen