MCA sudah kenal pasti calon untuk PRU15, kata setiausaha agung


Khoo Gek San

Chong Sin Woon berkata parti itu akan bertanding di 40 kerusi Parlimen dan 90 kerusi DUN yang bermaksud ia tidak akan terkapai-kapai pada saat-saat akhir.

MCA sudah kenal pasti 90% penyelaras untuk kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan harapan beroleh kejayaan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata setiausaha agung parti.

Chong Sin Woon berkata parti itu akan bertanding di 40 kerusi Parlimen dan 90 kerusi DUN yang bermaksud ia tidak akan terkapai-kapai pada saat-saat akhir.

Para penyelaras yang dikenal pasti oleh penyelaras negeri ini berkemungkinan menjadi calon di kerusi-kerusi tersebut namun keputusan muktamad tetap ditentukan Barisan Nasional (BN)

“Penyelaras belum lagi menjadi calon dan masih perlu diuji dan dinilai,” katanya.

MCA melantik penyelaras untuk bekerja di kawasan pilihan raya bagi mengukur prestasi dan penerimaan mereka oleh orang ramai, kata Chong, yang merupakan penyelaras bagi Raub.

Umno dan MIC juga berbuat demikian ketika ini, katanya.

Dengan hanya empat parti dalam BN sekarang, beliau berkata ini menjadikan lebih banyak kerusi buat Umno, MCA dan MIC. Parti keempat ialah Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) yang berpangkalan di Sabah.

Ketika ditanya sama ada MCA akan mengambil alih semua kerusi Gerakan, Chong berkata perkara ini akan dibincangkan semasa rundingan kerusi nanti.

MCA bagaimanapun akan bertanding di semua kerusi majoriti Cina kerana Umno dan MIC tidak mempunyai keinginan untuk berbuat demikian, katanya.

“Sebagai contoh di Pulau Pinang, 60% hingga 70% pengundi adalah Cina, Umno dan MIC tidak akan bertanding di sini. Untuk kerusi campuran, kita semua mesti berunding.

“Kami akan cuba mengekalkan kerusi sedia ada dan kemudian bincang sama ada ada peluang untuk tukar kawasan pilihan raya dengan parti lain.

“Selepas Gerakan keluar (BN), kami ada lebih banyak kerusi di semenanjung dan lebih banyak ruang untuk berbincang.”

Pada PRU14, parti itu bertanding di 39 kerusi Parlimen dan menang hanya satu kerusi. Bagi 90 kerusi DUN, MCA cuma menang dua kerusi.

Kriteria pemilihan calon

Chong berkata MCA ada ramai calon muda yang berpotensi.

Keputusan MCA untuk letak dua calon muda, Lim Thien Soon di Yong Peng dan Lee Ting Han di Paloh dalam pilihan raya negeri Johor baru-baru ini terbukti berkesan, kata Chong.

“MCA ada ramai calon muda tetapi tiada seorang pun yang dipilih, bukan seperti DAP. Jadi tidak ada cara untuk tonjolkan mereka.”

Chong berkata MCA juga telah menetapkan syarat asas bagi calon yang terdiri daripada tiga bahasa dan mesti memiliki sekurang-kurangnya ijazah untuk kerusi Parlimen.

“Mereka perlu ada kemahiran komunikasi yang baik dan ada sekurang-kurangnya ijazah sarjana muda.”

Selain bahasa dan pendidikan, Chong berkata keupayaan mereka untuk menang juga perlu dipertimbangkan. – 18 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen