Elon Musk mengaku bergurau beli Manchester United


Lelaki terkaya dunia Elon Musk mendakwa ciapannya di Twitter untuk membeli pasukan bola sepak dunia Manchester United sebagai "gurauan yang sudah lama", berkata beliau tidak berminat beli mana-mana pasukan sukan. – Gambar EPA, 17 Ogos, 2022.

ELON MUSK pada Selasa berkata “saya tidak beli mana-mana pasukan sukan”, menggelar ciapan tular di Twitter tentang hasrat membeli Manchester United sebagai jenaka.

Lelaki terkaya di dunia itu mempunyai tabiat menyiarkan kenyataan provokatif di Twitter untuk keseronokan malah Musk kembali buat demikian apabila memberitahu lebih 103 juta pengikutnya di Twitter: “Selain itu, saya beli Manchester United, terima kasih.”

Bilionair Tesla dan CEO SpaceX membuat ciapan itu sebagai membalas satu lagi tweetnya, tentang menyokong kedua-dua parti politik utama Amerika Syarikat (AS).

Musk, yang terlibat dalam tuntutan mahkamah berhubung bidaannya untuk membeli Twitter, kemudiannya ditanya di platform sama ada beliau serius untuk memiliki Manchester United.

“Tidak, ini jenaka yang sudah lama di Twitter. Saya tidak beli mana-mana pasukan sukan,” jawab Musk, selepas tweet asalnya mendapat hampir 500,000 “likes” dalam masa beberapa jam.

“Walaupun begitu, jika mana-mana pasukan (saya mahu beli), ia adalah Manchester United. Ia pasukan kegemaran saya waktu kecil.”

Manchester United, salah satu kelab bola sepak terbesar dunia yang semakin merosot, dimiliki oleh keluarga Glazer. Mereka telah menjadi sasaran kemarahan penyokong.

Tiada reaksi segera daripada Manchester United atau pemiliknya susulan tweet Musk.

Saham pasukan yang disenaraikan di Bursa Saham New York turun setakat tahun ini, tetapi berakhir pada Selasa dengan modal pasaran AS$2.1 bilion.

Walaupun menyebutnya sebagai jenaka, tweet Musk boleh menyebabkan beliau berhadapan masalah dengan pengawal selia AS.

The Glazers menjadi tumpuan kemarahan penyokong bola sepak selepas kejatuhan dramatik pasukan itu.

Peminat United telah memprotes pengurusan kanan pasukan kerana prestasi buruk sejak beberapa tahun kebelakangan ini, serta penglibatan mereka dalam rancangan untuk memulakan “Liga Super” baharu pasukan terkaya Eropah.

Protes baharu terhadap Glazers dirancang menjelang perlawanan United seterusnya, di stadium sendiri menentang musuh sengit Liverpool pada 22 Ogos.

Musk, yang baru-baru ini menjual saham Tesla bernilai hampir AS$7 bilion, berada dalam pertempuran undang-undang besar di negeri Delaware AS berhubung rancangannya untuk membeli Twitter yang dibatalkan. – AFP, 17 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen